Maybank catat untung bersih RM2.17 bilion pada suku ketiga 

Maybank catat untung bersih RM2.17 bilion pada suku ketiga 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Malayan Banking Berhad (Maybank) meningkat 28.5 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM2.17 bilion pada suku ketiga (S3) berakhir 30 September 2022 daripada RM1.68 bilion tahun sebelumnya.

Menurut Maybank, ia telah mendapat manfaat daripada persekitaran ekonomi yang bertambah baik di seluruh rantau ini.

Hasil bagi tempoh itu meningkat 20.4 peratus kepada RM13.42 bilion berbanding RM11.15 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan operasi bersih bagi suku tersebut meningkat 20.6 peratus YoY untuk mencecah RM7.41 bilion.

“Ia didorong oleh pendapatan berasaskan fi bersih yang lebih tinggi sebanyak 48.0 peratus kepada RM2.12 bilion daripada RM1.43 bilion setahun sebelumnya dan peningkatan 12.2 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM5.30 bilion daripada RM4.72 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Maybank berkata, peningkatan dalam pendapatan berasaskan fi bersih terutamanya diterajui oleh keuntungan pasaran dalam liabiliti kewangan dan keuntungan pertukaran asing, manakala pendapatan berasaskan dana bersih meningkat kerana pertumbuhan pinjaman yang lebih baik di semua pasaran tempatan dan pengembangan margin faedah bersih (NIM) daripada peningkatan kadar faedah persekitaran.

Ia seterusnya meningkatkan keuntungan operasi pra peruntukan (PPOP) sebanyak 20.8 peratus kepada RM4.02 bilion berbanding tahun sebelumnya, jelasnya.

Katanya, kerugian rosot nilai bersih menurun 25.2 peratus kepada RM0.84 bilion daripada RM1.13 bilion setahun sebelumnya kerana peruntukan proaktif yang lebih tinggi dibuat tahun lepas disebabkan masalah makroekonomi dan potensi kelemahan peminjam akibat sekatan pergerakan yang berpanjangan.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih Maybank meningkat 0.5 peratus kepada RM6.07 bilion daripada RM6.04 bilion tahun lepas dipacu oleh pendapatan operasi bersih yang lebih baik sebanyak RM20.72 bilion, meningkat 8.2 peratus YoY daripada RM19.15 bilion .

Maybank berkata, pendapatan operasi bersih yang lebih tinggi diterajui oleh peningkatan 8.1 peratus YoY dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM15.37 bilion disokong oleh pertumbuhan pinjaman merentas semua pasaran tempatan dan pengembangan NIM.

Hasil bagi tempoh tersebut meningkat 5.3 peratus YoY kepada RM36.55 bilion berbanding RM34.7 bilion setahun sebelumnya.

Mengulas prestasi itu, Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, dengan ekonomi serantau di ASEAN mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh bagi sembilan bulan pertama 2022 atas aktiviti perniagaan yang dinormalisasi, Kumpulan telah mengalami pengembangan serupa merentas portfolio pinjamannya dalam pasaran serantau.

Kumpulan kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek pertumbuhannya untuk baki tahun 2022.

“Keputusan membanggakan yang kami capai menunjukkan daya tahan dan keupayaan Kumpulan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan merentas semua barisan perniagaan serta pasaran dalam negara sejak sembilan bulan lalu.

“Dengan pelancaran strategi korporat Kumpulan yang diperhalusi baru-baru ini, M25+, kami akan memberi tumpuan kepada keutamaan utama termasuk mempergiatkan tumpuan pelanggan dan mengambil kedudukan kepimpinan dalam kelestarian dan Pengurusan Kekayaan Islam,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, Kumpulan akan memacu pertumbuhan pendapatan merentasi portfolio pinjaman dan aliran pendapatan yuran serta mengekalkan disiplin dalam pemantauan kualiti asetnya.

“Walaupun ekonomi ASEAN dijangka meneruskan pertumbuhan ke tahun depan dengan kadar yang lebih perlahan, kami akan mengekalkan kedudukan mudah tunai dan modal kami yang kukuh untuk menguruskan potensi risiko penurunan yang boleh muncul dalam persekitaran operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN