PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga, Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) mencatatkan pertumbuhan keuntungan bersih kepada RM1 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2022, berbanding RM0.2 juta tempoh sama tahun sebelumnya
KAB dalam kenyataan berkata, keuntungan bersih lebih tinggi didorong oleh segmen penyelesaian tenaga lestari (SES) mencapai suku untung keempat berturut-turut atas sumbangan yang lebih tinggi daripada aset tenaga boleh diperbaharui dan bersih.
Katanya, pendapatan bagi suku ketiga meningkat 50.9 peratus kepada RM48.3 juta berbanding RM32.0 juta bagi suku yang sama tahun sebelumnya.
“Segmen SES mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM0.2 juta pada suku tersebut berbanding kerugian operasi sebanyak RM0.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan segmen melonjak kepada RM3.6 juta daripada RM0.5 juta tahun lalu.
“Hasil yang lebih tinggi datang daripada konsesi bekalan tenaga kemudahan penjanaan bersama 1.5 megawatt (MW) di Negeri Sembilan yang baru diperoleh pada 2021, Loji janakuasa Pemulihan Sisa Haba 2.2 MW, serta sistem solar photovoltaic (PV) di Malaysia dan Thailand,” katanya.
Tambah KAB, segmen Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (M&E) Kumpulan melaporkan hasil lebih tinggi sebanyak RM44.6 juta berbanding RM31.8 juta bagi suku sama tahun lalu sejajar dengan perkembangan pengiktirafan projek.
Bagaimanapun jelasnya, harga komoditi yang lebih tinggi bagi tembaga dan bijih besi mengurangkan keuntungan operasi segmen kepada RM2.0 juta daripada RM2.4 juta sebelumnya.
Segmen M&E mempunyai buku pesanan sebanyak RM238.0 juta pada 7 Oktober 2022, katanya.
Pengarah Utusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, segmen SES Kumpulan semakin mendapat tarikan dalam pengembangan penjanaan tenaga mampan syarikat di seluruh Asia Tenggara.
“Aspirasi kami dipandu oleh komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kerana kami mengutamakan pertumbuhan yang mampan sambil menegakkan hak buruh dan hak asasi manusia di seluruh rantaian nilai kami.
“Tambahan pula, kami berusaha untuk memerangi perubahan iklim dengan lebih berkesan melalui penambahbaikan berterusan operasi dengan kepakaran kejuruteraan dan SES kami,” katanya.
Tambahnya, melangkah ke hadapan, hasil yang dijangka diperoleh daripada cadangan penempatan persendirian akan membiayai pertumbuhan SES Kumpulan yang akan memacu momentum transformasi syarikat untuk menjadi penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga sehenti terkemuka di rantau ini. – UTUSAN










