KUALA LUMPUR: Akademi kepimpinan kanak-kanak terkemuka, HANKidz, membuka sebuah sekolah perpaduan (Unity School) yang menempatkan murid sekolah rendah dan menengah di Lembah Klang.
Pengasasnya, Khoo Boo Hank berkata, sekolah berkenaan bakal dibuka sebelum hujung tahun hadapan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 250 pelajar.
Jelasnya, pembukaan sekolah perpaduan berkenaan selari dengan usaha HANKidz menyokong salah satu Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) yang menggalakkan pendidikan berkualiti.
“Buat masa ini kami mempunyai empat akademi HANKidz iaitu di Setia Alam, Bandar Sunway, Puchong dan Kota Damansara di mana murid-murid prasekolah dari akademi ini menanti untuk memasuki sekolah perpaduan yang bakal dibuka tersebut.
“Apabila dibuka, sekolah perpaduan ini akan menjadi sekolah di mana semua kanak-kanak tanpa mengira agama dan bangsa datang mempelajari apa itu kepimpinan utama supaya mereka boleh membuat pendirian untuk negara dan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada sambutan Ulang Tahun Ke-10 HANKidz dan Majlis Pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SEPU10H bersama Yayasan Chow Kit, di Damansara, di sini, kelmarin.
Menurut Boo Hank, HANKidz telah ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dan menawarkan pelbagai modul pendidikan serta latihan yang menekankan pembinaan jati diri dan sahsiah termasuk akademi kepimpinan, kepimpinan prasekolah dan lain-lain lagi.
“HANKidz telah mendidik lebih 60,000 kanak-kanak di seluruh Asia dengan kemahiran yang diperlukan terutama sekali pembangunan daya kepimpinan, kualiti teras pemimpin masa hadapan,” katanya.
Mengulas program CSR SEPU10H bersama Yayasan Chow Kit, Boo Hank berkata, sebanyak RM100,000 berjaya dikumpul untuk didermakan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.
Katanya, daripada jumlah berkenaan RM40,000 berjaya dikumpul melalui sumbangan orang ramai termasuk ibu bapa pelajar, manakala bakinya RM60,000 disumbang oleh HANKidz sendiri.
“Melalui kerjasama ini, kita akan menaja 10 kanak-kanak bagi pembiayaan pembelajaran mereka di peringkat sekolah rendah selama enam tahun,” katanya. – UTUSAN










