‘Bagi pedagang, siapa yang bentuk kerajaan itu penting’

‘Bagi pedagang, siapa yang bentuk kerajaan itu penting’

SUASANA berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya punyai banyak perancangan pelaburan yang hendak dibuat. Tetapi nak tengok dahulu parti mana yang bentuk kerajaan.

“Bagi pedagang seperti saya, siapa yang bentuk kerajaan itu penting, sebab ia bakal menentukan dasar-dasar kerajaan yang bakal menarik pelaburan atau sebaliknya. Awak rasa parti mana yang dapat membentuk kerajaan?

Itu luahan seorang pedagang yang terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan termasuk import eksport kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di pinggir ibu negara, semalam.

Ramalan banyak pihak setakat ini tidak ada mana-mana pakatan yang mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, ternyata mendapat perhatian beliau dan rakan-rakan­nya.

Beliau yang enggan didedahkan identitinya berkata, kerajaan yang kukuh sangat diperlukan bagi mengemudi Malaysia menghadapi ekonomi yang le­bih mencabar tahun hadapan selain menangani kenaikan kos hidup, peningkatan inflasi, pe­ngangguran dan penyusutan nilai mata ringgit.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan KDNK Suku Ketiga 2020 baru-baru ini me­nyatakan, nilai ringgit menurun sebanyak 11.2 peratus dari awal tahun hingga 9 November lalu.

“Saya tidak dapat kongsikan pelaburan yang hendak dibuat buat masa ini kerana ingin melihat dahulu siapa yang bakal membentuk kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Per­sekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan dan senario politik yang stabil selepas PRU15 amat penting bagi memastikan ekonomi negara yang lebih kukuh dapat dicapai.

“Selepas ekonomi negara yang goyah kerana pandemik Covid-19, kebanyakan perniagaan masih berusaha untuk pulih dan diharap kerajaan baharu nanti dapat memfokuskan kepada pemulihan serta kestabilan ekonomi negara.

“Rakyat juga perlu didahulukan kerana kita sedia maklum keadaan semasa apabila rakyat terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi. Kerajaan baharu perlu tampil dengan solusi dan kaedah berkesan untuk menanganinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PRU15 Sabtu ini dikatakan pilihan raya yang paling sukar untuk dibuat pilihan dengan pertembungan tiga penjuru kumpulan parti yang besar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Di sebalik krisis politik yang bertali arus, Malaysia sedang kehilangan jumlah pelaburan langsung asing yang agak tinggi dan diharap selepas kerajaan baharu dibentuk, fokus untuk memulihkan ekonomi dan mendengar keluhan rakyat akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Bursa Malaysia yang mengalami kejatuhan pada sesi dagangan sebelah pagi dan tengah hari, kembali melantun apabila ditutup 0.94 mata lebih tinggi kepada 1,449.32 berbanding 1,448.38 kelmarin.

Dalam pada itu, ringgit kembali susut berbanding dolar Amerika Syarikat apabila ditu­tup pada 4.5470/4.5500 daripada 4.5375/4.5475 kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya