AEON catat hasil RM982 juta, peningkatan 30.8 peratus

AEON catat hasil RM982 juta, peningkatan 30.8 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Co. (M) Berhad (AEON) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 30.8 peratus kepada RM982 juta untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2022 daripada RM750.6 juta tempoh sama tahun lalu.

Syarikat mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM18.7 juta bagi tempoh tersebut, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM33.5 juta.

AEON berkata, peningkatan hasil oleh perniagaan runcit disebabkan terutamanya oleh pembukaan semula ekonomi, ditambah dengan pembukaan sempadan negara.

“Sementara itu, pertumbuhan hasil daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah disumbangkan oleh komisen jualan yang lebih tinggi dan sewa ruang sementara yang diterima selaras dengan sentimen pengguna untuk kembali ke pusat beli-belah secara fizikal,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEON, Keiji Ono berkata, pihaknya bersyukur atas keputusan yang memberangsangkan pada tempoh dilaporkan, membuktikan usaha dan pencapaian berterusan oleh AEON.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat mempertahan dan mengukuhkan nilai teras kami iaitu kepuasan pelanggan.

“Kami sentiasa berharap semua inisiatif kami dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor runcit semasa,” katanya.

Dalam pada itu, AEON percaya bahawa perniagaan yang mampan melindungi alam sekitar, memupuk pekerja dan meningkatkan komuniti serta ekosistemnya.

Jelasnya, AEON terus membuat kemajuan positif ke arah perjalanan kemampanan dengan memperkasa cita-cita Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Pada Ogos lalu, AEON telah menandatangani Memorandum Kerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

“Inisiatif itu adalah sebahagian daripada tindakan berterusan berikutan Piagam Kelestarian AEON yang dilancarkan awal tahun ini.

“Kami amat percaya bahawa inisiatif ini pasti akan meningkatkan cadangan nilai syarikat kepada pelanggan dengan menyepadukan ekosistem mobiliti mampan dalam pengalaman membeli-belah mereka,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN