PETALING JAYA: Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas 275kV yang sedang dilaksanakan adalah sebahagian daripada pelaburan berterusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membangunkan Grid Nasional sejajar keperluan peralihan tenaga negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerja-kerja asas sedang dilaksanakan dengan sasaran siap pada Ogos 2024 juga, dan apabila sempurna kelak mampu menyalurkan 2,000MW sekali gus menjamin kestabilan bekalan di Pulau Pinang dalam jangka panjang.
“Komponen projek bernilai lebih RM500 juta itu merangkumi pembinaan talian atas sejauh 8.5 kilometer dengan menara ikonik yang selari dengan jambatan pertama Pulau Pinang, Pencawang Masuk Utama (PMU) di Perai untuk dihubungkan kepada PMU The Light, yang akan dibina berhampiran Kem Tentera Batu Uban, seterusnya kabel 132kV baru bawah tanah sepanjang 3.3km ke PMU Gelugor.
“Ketika ini, pulau berkenaan menerima bekalan melalui SJ Gelugor dan dua kabel dasar laut serta satu kabel bawah jambatan yang berusia 21 hingga 38 tahun, lantas kos selenggaraannya tinggi di samping pernah mengalami kerosakan.
“Penghantaran terus talian atas ini membolehkan pengguna dan pelabur di Pulau Pinang menikmati sistem bekalan lebih kukuh, cekap dan stabil termasuk dari segi kepantasan mengesan sebarang kerosakan atau gangguan,” katanya dalam kenyataan.
Projek itu menepati keperluan kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang yang memerlukan bekalan tenaga yang kukuh bagi melaksanakan pembangunan fizikal termasuk rangkaian perhubungan jalan raya, pengangkutan awam, meningkatkan kapasiti pelabuhan dan lapangan terbang, selain kegiatan tebus guna tanah untuk tujuan pembangunan penempatan dan komersial.
Projek yang dinanti-nantikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu dilancarkan pada 15 September lalu.
Menurut Baharin, TNB membuat pelaburan berterusan dalam pembangunan grid yang menjadi pemboleh utama peralihan tenaga dengan menghubungkan seluruh rantaian perkhidmatan TNB daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehinggalah ke premis pelanggan.
“Kami akan terus memastikan rangkaian pembahagian TNB kekal berdaya harap, mudah pulih daripada gangguan dan diautomasikan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan masa hadapan, selaras dengan evolusi peralihan tenaga,” katanya.
Mengenai pelaksanaan projek, Baharin berkata, fasa seterusnya adalah kerja penanaman cerucuk di laut, pemasangan menara dan disusuli dengan kerja-kerja merentang pengalir yang dijangka akan dimulakan tidak lama lagi.
Jelasnya, projek berkenaan mendapat kelulusan Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA) dan pelaksanaannya tidak menjejaskan dasar laut kerana pihak TNB dan Kontraktor yang dilantik akan mematuhi syarat-syarat Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi memelihara keadaan alam sekeliling.
Semua kerja-kerja tersebut mendapat permit dan diawasi oleh agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dengan rosedur dan kaedah pembinaan tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di dalam permit.
Ia dilaksanakan oleh gabungan tiga syarikat berpengalaman dalam pembinaan talian atas dan kerja-kerja pembinaan di laut iaitu Multi Discovery Sdn. Bhd. – KACC Construction Sdn. Bhd. – CHEC Construction (M) Sdn. Bhd. secara tender terbuka. – UTUSAN









