KETEGANGAN geopolitik konflik Russia-Ukraine mengakibatkan berlakunya peningkatan ketara harga komoditi global hingga mendorong kerajaan menyemak semula anggaran perbelanjaan 2022 berjumlah RM322.1 bilion.
Tinjauan Fiskal 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan menyatakan, Bajet 2022 berjumlah RM322.1 bilion sebelum ini telah dirangka dengan mengambil kira prospek ekonomi yang bertambah baik serta normalisasi aktiviti sosial dan perniagaan.
Bagaimanapun katanya, peningkatan harga komoditi memerlukan kerajaan untuk menyediakan peruntukan subsidi tambahan bagi membendung inflasi dan mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup.
“Sehubungan itu anggaran jumlah perbelanjaan disemak semula kepada RM385.3 bilion pada 2022 dengan perbelanjaan mengurus (OE) meningkat daripada RM233.5 bilion kepada RM284.7 bilion.
“Sementara itu perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) meningkat daripada RM23 bilion kepada RM28.8 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) berkurangan daripada RM75.6 bilion kepada RM71.8 bilion,” katanya.
Menurut laporan itu, sektor sosial terus menerima peruntukan terbesar sebanyak 36.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan atau 8.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sektor ekonomi pula merupakan yang kedua menerima peruntukan terbesar sebanyak 17.1 peratus atau 3.8 peratus daripada KDNK diikuti sektor keselamatan (8.8 peratus, dua peratus daripada KDNK) dan pentadbiran (4.3 peratus, satu peratus daripada KDNK).
Katanya penambahan peruntukan peruntukan OE disemak semula kepada RM284.7 bilion berkembang 23 peratus atau 16.6 peratus daripada KDNK disebabkan peningkatan ketara subsidi bahan api dan minyak masak.
Manakala peruntukan DE pada 2022 disemak lebih rendah kepada RM71.8 bilion daripada anggaran asal RM75.6 bilion, disebabkan penyelarasan semula perbelanjaan serta kemajuan program dan projek DE yang sederhana berikutan kajian semula kos susulan peningkatan harga bahan mentah.
“Peruntukan KWC-19 pada 2022 disemak semula daripada RM23 bilion kepada RM28.8 bilion bagi membiayai subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion susulan keputusan kerajaan mengekalkan kadar Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).
“Sehingga Ogos 2022 sejumlah RM10.2 bilion dibelanjakan terutamanya untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM3.7 bilion bagi meringankan beban rakyat di mana ia memanfaatkan 8.6 juta penerima daripada golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan juga menyalurkan RM1.1 bilion untuk perbelanjaan berkaitan Covid-19 bagi menaik taraf peralatan dan menambah kapasiti katil di unit rawatan rapi hospital,” katanya.
Jelasnya, secara keseluruhan sebanyak RM86 bilion atau 78.2 peratus daripada siling KWC-19 yang berjumlah RM110 bilion telah dibelanjakan hingga Ogos 2022.
INFO:
Pertambahan perbelanjaan 2022:
* RM322.1 bilion – RM385.3 bilion
* OE: RM233.5 bilion – RM284.7 bilion.
* KWC-19: RM23 bilion – RM28.8 bilion
* DE: RM75.6 bilion – RM71.8 bilion – UTUSAN










