SEKTOR perkhidmatan diunjur berkembang lima peratus pada 2023 didokong permintaan domestik yang kukuh meskipun pertumbahan ekonomi global menyederhana.
Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan menyatakan, pertumbuhan berkenaan dijangka terus didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; hartanah dan perkhidmatan perniagaan; maklumat dan komunikasi; pengangkutan dan penyimpanan; serta makanan, minuman dan penginapan.
Menurut laporan itu, subsektor perdagangan borong dan runcit dijangka kekal sebagai penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus berikutan pengembangan dalam segmen runcit terutamanya disumbangkan oleh penggunaan e-dagang yang lebih meluas dan peralihan pantas ke arah digitalisasi.
“Subsektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan diunjur berkembang sebanyak 6.6 peratus diterajui oleh segmen perkhidmatan perniagaan di mana ia dijangka berkembang didorong oleh permintaan lebih tinggi untuk perkhidmatan profesional khususnya kejuruteraan, guaman dan perakaunan sejajar dengan peningkatan aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
“Subsektor maklumat dan komunikasi juga dijangka berkembang 4.6 peratus terutamanya didorong oleh peningkatan dalam penerimagunaan digital merentasi semua sektor ekonomi di mana Digital Nasional Berhad menyasarkan peluasan liputan rangkaian selular generasi kelima ( 5G ) kepada 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia menjelang 2024,” katanya.
Jelasnya lagi, subsektor pengangkutan dan penyimpanan dijangka berkembang sebanyak tujuh peratus oleh semua segmen berikutan peningkatan dalam aktiviti rel, lebuhraya, pelabuhan dan lapangan terbang serta permintaan luar yang stabil.
“Segmen pengangkutan udara diunjur meningkat selari dengan pertambahan trafik penumpang berikutan aktiviti berkaitan pelancongan yang terus bertambah baik dan peningkatan perkhidmatan penerbangan antarabangsa.
“Subsektor makanan dan minuman dan penginapan dijangka berkembang sebanyak 7.8 peratus disumbangkan oleh peningkatan ketara dalam segmen di bawah subsektor ini berikutan pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0 pada Jun 2022,” katanya.
Sementara itu, laporan berkenaan turut menyatakan subsektor kewangan dan insurans diunjur kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 3.1 peratus berikutan aktiviti ekonomi dan pelaburan yang terus bertambah baik di mana pertumbuhan segmen kewangan dijangka dipacu oleh pelaksanaan teras strategik dalam Pelan Sektor Kewangan 2022 – 2026.
Katanya lagi, segmen insurans pula diunjur kembali pulih berikutan premium dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi di samping tuntutan yang lebih rendah.
“Subsektor utiliti diunjur meningkat sebanyak 2.4 peratus didorong oleh permintaan kukuh dalam segmen elektrik serta air dan pembetungan seiring dengan jangkaan penggunaan yang lebih tinggi dalam segmen industri , perniagaan dan kediaman.
“Subsektor perkhidmatan lain diunjur meningkat sebanyak 8.5 peratus dipacu oleh segmen kesihatan dan pendidikan swasta.
“Selanjutnya, subsektor perkhidmatan kerajaan dijangka berkembang sebanyak 6.1 peratus pada 2023,” katanya. – UTUSAN










