PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) mencatatkan peningkatan pembiayaan terbesar pinjaman perniagaan dalam sistem perbankan pada RM350.5 bilion atau 17.8 peratus daripada jumlah keseluruhan RM696.5 bilion pada akhir Julai 2022.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023, jumlah tersebut meningkat daripada RM292.4 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah pinjaman terkumpul sistem perbankan berkembang sebanyak 5.9 peratus kepada RM1.974 trilion pada akhir Julai 2022, disumbangkan oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam segmen perniagaan dan isi rumah.
“Sementara itu, permintaan untuk pinjaman kekal tinggi dengan permohonan pinjaman meningkat sebanyak 20.1 peratus kepada RM775.3 bilion didorong oleh aktiviti ekonomi yang kembali normal.
“Kelulusan pinjaman turut meningkat sejajar dengan peningkatan permohonan pinjaman sebanyak 27.8 peratus kepada RM382 bilion bagi tujuh bulan pertama 2022,” katanya.
Secara keseluruhan, sebahagian besar daripada pengeluaran pinjaman disalurkan kepada sektor pembuatan iaitu sebanyak 21.8 peratus diikuti oleh perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel (17.7 peratus) serta kewangan, insurans dan perniagaan (12.6 peratus).
Sementara itu, prestasi pinjaman isi rumah kekal kukuh dengan pinjaman terkumpul bagi segmen ini mencatat pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus kepada RM1.162 trilion pada akhir Julai 2022.
“Pengeluaran pinjaman pula meningkat sebanyak 23.4 peratus kepada RM236.9 bilion terutamanya bagi pembelian harta tanah kediaman dan kereta penumpang.
“Pembayaran balik pinjaman meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM229.6 bilion seiring dengan penamatan program bantuan pembayaran balik,” ujarnya. – UTUSAN










