KDNK 2023 diunjur berkembang antara 4 hingga 5 peratus

[Tinjauan Ekonomi 2023] KDNK 2023 diunjur berkembang antara 4 hingga 5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNJURAN Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus serta jangkaan harga komoditi global yang sederhana akan menyebabkan pertumbuhan hasil cukai Kerajaan Persekutuan lebih perlahan sebanyak 3.7 peratus laitu RM205.6 bilion atau 11.3 peratus daripada KDNK.

Walau bagaimanapun, hasil bukan cukai dianggar berkurang kepada RM67 bilion atau 3.7 peratus daripada KDNK iaitu melebihi peningkatan hasil cukai.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023, secara keseluruhan, hasil Kerajaan Persekutuan diunjur berkurang sebanyak 4.4 peratus kepada RM272.6 bilion.

Katanya, cukai langsung dianggar meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM152.4 bilion iaitu 74.1 peratus daripada hasil cukai.

“Sebahagian besar daripada kenaikan ini disumbangkan oleh kutipan CITA dianggar sebanyak RM88.9 bilion sejajar dengan prospek pendapatan korporat yang stabil serta kutipan Cukai Makmur pada 2023.

“Cukai pendapatan individu juga diunjur berkembang sebanyak 9.8 peratus kepada RM33.6 bilion berikutan peningkatan upah yang stabil dan pasaran pekerjaan yang kukuh.

Selain itu, menurut laporan, cukai tidak langsung dianggar meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada RM53.2 bilion sejajar dengan pertumbuhan berterusan dalam penggunaan dan perdagangan.

Kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka merekodkan RM32 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK dengan cukai jualan diunjur meningkat kepada RM16.3 bilion dan cukai perkhidmatan meningkat kepada RM15.7 bilion manakala duti eksais meningkat kepada RM12 bilion atau 0.7 peratus daripada KDNK.

“Kutipan cukai perkhidmatan dijangka meningkat terutamanya daripada sektor pelancongan seiring dengan jangkaan peningkatan ketibaan pelancong pada 2023 disokong oleh pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan.

“Unjuran peningkatan kutipan cukal jualan dan duti eksais disumbangkan terutamanya oleh permintaan berterusan kenderaan bermotor serta mesin dan alat ganti. Laporan MAA menjangkakan TIV 2023 akan mencapai 636,300 unit berikutan pengenalan model baharu, memenuhi pesanan kenderaan yang tertunggak dan kempen promosi oleh syarikat kereta,” ujarnya.

Bagaimanapun, hasil bukan cukai pula dianggar berkurang sebanyak 23 peratus kepada RM67 bilion atau 3.7 peratus daripada KDNK, disebabkan hasil pendapatan pelaburan yang lebih rendah terutamanya dividen daripada Petronas sebanyak RM35 bilion.

Sebaliknya, kutipan lesen dan permit dijangka meningkat 3.4 peratus kepada RM13.8 bilion walaupun sumbangan royalti petroleum adalah lebih rendah, didorong terutamanya oleh kutipan lesen kenderaan bermotor dan levi pekerja asing.

“Pendapatan daripada lesen kenderaan bermotor dianggar meningkat kepada RM3.2 bilion sejajar dengan peningkatan pendaftaran kenderaan pada 2023.

“Selain itu, levi pekerja asing diunjur merekodkan RM2.9 bilion berikutan jangkaan kemasukan pekerja asing yang lebih ramai.

“Kerajaan dijangka menerima sumbangan RM3 bilion daripada KWAP dan dividen daripada Bank Negara Malaysia sebanyak RM5 bilion,” ujarnya.

Dalam pada itu, hasil berkaitan petroleum 2023 dijangka mencatat RM58.9 bilion atau 21.6 peratus kepada jumlah hasil sejajar dengan andaian purata harga minyak mentah global lebih rendah laitu AS$90 setong.

“Hasil bukan petroleum diunjur meningkat sebanyak 3% kepada RM213.7 bilion terutamanya disumbangkan oleh CITA, cukai pendapatan individu dan SST seiring dengan aktiviti perdagangan dan ekonomi yang berterusan.

“Hasil bukan petroleum dijangka kekal berdaya tahan dengan mencatat sebanyak 11.8 peratus daripada KDNK.

“Kerajaan komited untuk memperluas hasil bukan petroleum bagi menjana hasil yang mampan melalui Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan kajian semula perbelanjaan cukai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN