EKONOMI global dijangka menyederhana sebanyak 2.9 peratus pada 2023 berikutan pertumbuhan ekonomi maju serta negara yang berkembang pesat dan negara membangun (EMDE) yang lebih perlahan daripada jangkaan.
Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan menyatakan, pertumbuhan ekonomi maju dijangka terus menyederhana kepada 1.4 peratus.
Bagaimanapun, ekonomi Amerika Syarikat (AS) diunjur mencatat pertumbuhan sebanyak satu peratus disebabkan penggunaan swasta yang lemah dengan inflasi dijangka terus melebihi sasaran dua peratus yang ditetapka Rizab Persekutuan AS.
“Pertumbuhan di kawasan euro juga dijangka menyederhana kepada 1.2 peratus berikutan bekalan tenaga yang terhad akan terus menjejaskan aktiviti ekonomi.
“Pertumbuhan EMDE diunjur meningkat secara marginal sebanyak 3.9 peratus pada 2023 disokong oleh peningkatan penggunaan swasta dan eksport.
“Ekonomi China dijangka berkembang sebanyak 4.6 peratus didorong oleh permitaan domestik yang kukuh berikutan rangsangan fiskal, manakala ekonomi India pula dijangka berkembang pada kadar 6.1 peratus walaupun penurunan dalam penggunaan swasta dan permintaan luar.
“Pertumbuhan ASEAN-5 diunjur meningkat sebanyak 5.1 peratus disokong oleh peningkatan berterusan dalam penggunaan domestik dan pelaburan swasta,” katanya.
Menurut laporan berkenaan, perdagangan global diunjur mencatat 3.2 peratus pada 2023 berikutan permintaan yang lebih lemah di mana perdagangan dalam ekonomi maju diunjur mencatat 3.2 peratus dan EMDE 3.3 peratus.
Jelasnya pertumbuhan eksport dan import dalam ekonomi maju dijangka mencatat 4.7 peratus dan 4.5 peratus berikutan gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan.
“Eksport dan import dalam EMDE juga dijangka berkembang kepada 3.6 peratus dan 4.8 peratus,” katanya.
Tambahnya, inflasi global diunjur pada 5.7 peratus pada tahun hadapan disokong oleh kejatuhan harga komoditi termasuk minyak mentah dengan kadar inflasi dalam ekonomi maju dijangka merekodkan 3.3 peratus dan EMDE 7.3 peratus.
“Kesimpulannya ekonomi global diunjur menyederhana pada 2022 dan 2023 berikutan tekanan inflasi, keadaan kewangan yang lebih ketat, gangguan bekalan serta pemecahan geopolitik.
“Cabaran ini dijangka berlanjutan disebabkan oleh pertumbuhan sederhana dalam ekonomi maju dan beberapa EMDE serta impak negatif daripada konflik yang sedang berlaku di Eropah Timur,” katanya. – UTUSAN










