Bajet 2023 fokus ringankan beban rakyat - PM

[Tinjauan Ekonomi 2023] Bajet 2023 fokus ringankan beban rakyat – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN bertekad untuk meringankan beban rakyat melalui pelbagai langkah yang terkandung dalam Bajet 2023 termasuk membantu golongan rentan, mengukuhkan jaringan keselamatan sosial di samping mengurus sumber negara secara berkesan dengan memastikan subsidi disasarkan secara strategik kepada rakyat yang amat memerlukannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah Bajet 2023 juga akan memastikan pemulihan ekonomi yang memberi manfaat kepada semua dengan menyediakan pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi dan peningkatan peluang pekerjaan untuk #KeluargaMalaysia.

“Tumpuan kita terhadap pembangunan mampan akan membuka ruang kepada pertumbuhan yang saksama dan inklusif demi kemakmuran rakyat dalam jangka masa panjang.

“Melangkah ke tahun ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 2021 hingga 2025, kerajaan akan memperkukuh langkah bagi merancakkan aktiviti ekonomi dengan memudah cara penerimagunaan teknologi digital yang lebih meluas, meningkatkan produktiviti buruh dan memastikan peluang perniagaan yang lebih baik.

“Asas makroekonomi kita yang kukuh serta dasar fiskal yang pragmatik, akomodatif dan fleksibel telah mempersiapkan negara untuk mendepani sebarang cabaran persekitaran luaran pada masa hadapan,” katanya dalam prakata Tinjauan Ekonomi 2023.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi pada 2023 akan dipacu terutamanya oleh penggunaan dan pelaburan domestik dan sektor swasta hendaklah terus memainkan peranan penting dalam menerajui aktiviti ekonomi domestik secara bijaksana dan tangkas untuk mewujudkan kedinamikan yang perlu bagi melonjakkan pertumbuhan.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus menyediakan sokongan infrastruktur, insentif dan pentadbiran yang berkaitan bagi menggalakkan peluang perniagaan dan pelaburan,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, persekitaran ekonomi global kekal mencabar berikutan konflik geopolitik yang berlarutan seterusnya mengakibatkan peningkatan harga tenaga serta gangguan rantaian bekalan global.

Selain itu, katanya, keadaan cuaca ekstrem telah memperlahankan pelbagai usaha kebanyakan negara membangunkan semula infrastruktur, masyarakat dan perniagaan.

“Faktor tersebut telah meningkatkan tekanan inflasi serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global. Namun, ekonomi Malaysia telah menunjukkan daya tahan dan prestasi yang melebihi jangkaan dengan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 meskipun berdepan pelbagai ketidaktentuan global.

“Pertumbuhan ini terutamanya dipacu oleh peralihan negara kepada fasa endemik serta permintaan domestik dan luar negeri yang kukuh berlandaskan ekonomi Malaysia yang pelbagai dan terbuka, asas ekonomi yang teguh serta dasar fiskal dan monetari yang baik.

“Alhamdulillah, langkah dasar kerajaan yang responsif dan bersesuaian telah menyumbang dengan ketara kepada pemulihan semula perniagaan dan aktiviti ekonomi. Walaupun peristiwa banjir besar telah berlaku pada Disember 2021 dan Januari tahun ini, namun tindak balas dasar negara membolehkan aktiviti perniagaan dan komuniti kembali normal dengan segera.” ujarnya.

Di samping itu, beliau berkata, pembukaan semula sempadan telah mempergiat perdagangan dan perjalanan yang seterusnya merancakkan aktiviti ekonomi domestik.

“Perundangan baharu berkaitan anti lompat parti serta bukti jelas kebebasan badan kehakiman kita, mencerminkan integriti dan tadbir urus sistem yang semakin baik seterusnya meningkatkan keyakinan perniagaan dan sentimen pelaburan.

“Kesemua tindak balas dasar ini telah menyumbang kepada trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur kepada 6.5 hingga 7.0 peratus pada 2022.

“Seterusnya, pembaharuan dan peluang bertunjangkan kemampanan serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan membantu memastikan bahawa biarpun dilanda cabaran kini dan masa hadapan, kita akan mencapai cita-cita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN