PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuffin Idris Shah berkenan melancarkan Kilang Kertas 3 (PM3) GS Paperboard & Packaging (GSPP), iaitu kilang pembuatan kertas berteknologi tinggi bernilai RM1.2 bilion.
PM3 siap dibina pada 15 November 2021. Ia merekodkan gulungan kertas sulungnya pada 30 September 2021 dan pengeluaran komersial bermula 1 April 2022.
Menurut syarikat itu, PM3 lahir hasil daripada perancangan jangka panjang GSPP untuk kekal teguh di tahun-tahun mendatang meskipun berhadapan dengan saingan yang semakin sengit di pasaran.
Jelasnya, teknologi pembuatan kertasnya yang canggih mampu mengeluarkan kertas berjisim ringan (Light Weight) yang berkekuatan tinggi dan berkualiti bagi menghasilkan kotak pembungkusan yang baik tanpa menjejaskan mutunya selaras dengan hasrat GSPP untuk memanfaatkan sumber semulajadi dengan lebih bermakna.
“Sebagai pendukung kuat amalan lestari bagi memelihara sumber asli, GSPP percaya masa hadapan global yang lebih baik boleh dibina dengan memacu hasil yang lestari untuk komuniti, alam sekitar dan pelanggannya. Pengurangan sisa, penjimatan tenaga, pengitaran semula dan pencegahan pencemaran mampu mewujudkan nilai yang lebih bermakna di samping penggunaan sumber semula jadi yang minima, justeru berupaya melindungi alam sekitar dengan lebih baik, katanya dalam kenyataan.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Prmaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tambah syarikat itu, dilengkapi dengan teknologi terkini, GSPP mampu menawarkan kemudahan pembungkusan setempat dengan kualiti yang konsisten dan bekalan produk siapnya yang pantas kepada para pelanggannya.
Rangkaian pengumpulan sisa kertas tempatan dan antarabangsa yang luas memastikan GSPP mempunyai bahan mentah yang mencukupi dan konsisten untuk memenuhi permintaan para pelanggannya.
“Sejak pengambilalihan GSPP pada 2010, Oji Holdings Corporation (Oji) terus melabur di Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah syarikat kertas, pembungkusan dan produk berasaskan kertas terbesar di Malaysia.
“Selain mengembangkan sektor bahan perindustrian, Oji juga telah banyak melabur dalam perniagaan bahan pelbagai fungsi dan lampin pakai buang.
Bulan lalu, Oji telah menguasai Adampak Group, sebuah pengeluar label kertas pelekat terbesar di Asia Tenggara.
Sehingga kini, Oji telah berkembang seiring dengan perkembangan ekonomi Malaysia dengan 18 lokasi perniagaan di seluruh negara.
“Memandangkan pasaran Asia Tenggara dan India dilihat sebagai pusat pertumbuhan perniagaannya, Oji mengunjurkan nisbah jualan luar negara akan melebihi 50 peratus pada masa hadapan melalui Rancangan Perniagaan Jangka Penggalnya. Syarikat mensasarkan matlamat untuk menjadi Penyedia Kemudahan Bahan Pembungkusan Nombor Satu di ASEAN sejak menembusi pasaran Malaysia pada 2010,” katanya. – UTUSAN










