PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, mata wang tempatan yang lemah boleh menyokong eksport Malaysia kerana kedua-duanya cenderung mempunyai korelasi yang positif.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kejatuhan ringgit akan membantu meningkatkan eksport negara kerana harga barangan dan perkhidmatan yang lebih kompetitif.
“Ia juga akan menggalakkan kemasukan pelabur asing (FDI) kerana kos pelaburan yang lebih rendah.
“Pertumbuhan FDI itu akan membantu menggalakkan pertumbuhan eksport dengan lebih tinggi pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota kajian berkata, prestasi sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia telah berkembang menentang aliran global menurun, kerana penghantaran terus mengatasi prestasi jualan global pada September.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport produk E&E negara ke China meningkat 36.5 peratus tahun ke tahun pada September, berbeza dengan penyederhanaan dalam penghantaran rakan serantau.
“Sebahagian daripada kekuatan itu mungkin disebabkan oleh kos yang menarik memandangkan prestasi ringgit yang lebih lemah,” katanya.
Malaysia telah merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM31.71 bilion pada September, rekod tertinggi baharu bagi negara, mengatasi paras tertinggi sebelumnya sebanyak RM31.5 bilion Disember lalu.
Jumlah perdagangan Malaysia dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini merekodkan pencapaian baharu, melepasi RM2 trilion dan mencatatkan pertumbuhan 32.9 peratus, menurut DOSM.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, walaupun prestasi itu memberangsangkan, cabarannya adalah pada tahun hadapan terutamanya apabila Bank Dunia menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara daripada 4.5 peratus kepada 4.2 peratus.
“Jumlah perdagangan dijangka akan berterusan meningkat pada tahun depan tetapi pertumbuhannya sedikit perlahan pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis, kerana pelabur menunggu tindakan kadar selanjutnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.
Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.7250/7265 berbanding dolar AS, daripada penutup Rabu 4.7180/7220. Ringgit terus jatuh apabila ditutup pada 4.7290.
Namun, ringgit lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound kepada 5.2948/2965 daripada 5.3233/3278 pada Rabu, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3146/3161 daripada 3.3176/3207.
Mata wang negara juga meningkat berbanding euro kepada 4.6135/6150 daripada 4.6326/6365, dan meningkat berbanding yen kepada 3.1515/1527 daripada 3.1611/1642.
Sementara itu, Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi apabila menokok 22.62 mata kepada 1,437.72 dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 493 berbanding 365 kaunter. – UTUSAN










