PETALING JAYA: Rakyat di pelbagai peringkat yang berdepan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup dan inflasi, menantikan apakah inisiatif atau bantuan direncanakan oleh kerajaan untuk mereka dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok.
Turut menjadi tumpuan sama ada kerajaan akan mula memperkenalkan subsidi secara bersasar ataupun meneruskan pemberian subsidi pukal. Begitu juga sama ada kerajaan akan melaksanakan kembali GST atau sebaliknya.
Sebelum ini, penganalisis ekonomi mengunjurkan Bajet 2023 akan lebih meluas dan lebih besar sehingga mencecah RM350 bilion, sekali gus menyaksikan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara mengatasi RM332.1 bilion pada Bajet 2022.
Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, dalam bajet kali ini kerajaan pasti akan meneruskan tumpuan pemberian subsidi kepada rakyat dan peniaga.
Beliau berpendapat, jika subsidi bersasar diperkenalkan, peruntukan subsidi akan lebih rendah tetapi penjimatan daripada itu kemungkinan akan disalurkan kepada rakyat dan peniaga melalui bantuan tunai secara langsung.
“Semua sektor juga dijangka akan diberi keutamaan tetapi sektor pendidikan akan kekal menerima peruntukan terbesar diikuti sektor kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan juga digesa memperkenalkan sekali lagi moratorium bagi mengurangkan impak daripada peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga 2.25 peratus yang turut diramal meningkat sekali lagi menjelang akhir tahun ini.
Walaupun kaedah tersebut bakal memanjangkan lagi tempoh bayaran balik pinjaman, namun ia dilihat dapat membantu rakyat menguruskan perbelanjaan semasa dengan lebih baik.
Tidak kurang juga dengan gesaan rakyat supaya dibenarkan sekali lagi pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000. Persoalannya, adakah suara rakyat itu mendapat perhatian kerajaan dalam pembentangan belanjawan nanti?.
Perkara yang sama turut diharapkan oleh pengusaha perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahukan bantuan bagi memulihkan perniagaan mereka dalam keadaan ekonomi negara dan dunia tidak menentu kini.
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) misalnya, mahu Bajet 2023 menumpukan kepada pengukuhan daya saing dalam industri pembuatan terutamanya PKS dari segi mengurangkan tekanan kos inflasi, meningkatkan produktiviti industri dan menyokong pertumbuhan hijau dan kemampanan.
Mereka juga mengharapkan kerajaan mengenakan cukai yang kompetitif dengan menurunkan kadar cukai korporat secara beransur-ansur kepada 20 peratus dan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai korporat PKS kepada antara 13 peratus atau 15 peratus untuk dua tahun akan datang.
Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) pula mahu kerajaan menangguhkan levi Cukai Jualan ke atas import e-dagang bernilai rendah jika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ingin diperkenalkan semula untuk menampung kebocoran semasa ini pada barangan import bernilai rendah (LVG).
Bagi meningkatkan digitalisasi negara seiring dengan perkembangan teknologi dunia, kerajaan dicadang memperkenalkan polisi khusus untuk menggalakkan automasi, digitalisasi dan penglibatan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkasa perniagaan.
Ia termasuk melaksanakan inisiatif bersasar seperti geran, pinjaman berfaedah rendah dan insentif cukai.
Bagi Ketua Fakulti Ekonomi Universiti Nottigham Malaysia (UNM), Prof. Madya Dr. Teo Wing Leong, geran pendidikan agar teknologi digital dan ekonomi digital dapat dijadikan tunjang dalam kurikulum di setiap peringkat juga perlu diperkenalkan.
“Pembaharuan komprehensif dalam sektor ekonomi dan sosial penting untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global.
“Dengan infrastruktur digital semasa yang sedang berkembang untuk membolehkan teknologi Industri 4.0 seperti data besar, kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT), adalah penting bagi Malaysia untuk mula membina pusat data modular.
“Ini termasuk menambah baik infrastruktur takrifan perisian (SDI) dan mengukuhkan pengurusan, operasi serta penyelenggaraan pintar untuk mengurangkan penggunaan kuasa pusat data awan dan menjadikannya lebih hijau dan cekap tenaga,” katanya. – UTUSAN










