Peruntukan Bajet 2023 dijangka lebih tinggi - Utusan Malaysia

Peruntukan Bajet 2023 dijangka lebih tinggi

BANK Dunia mengunjurkan KDNK Malaysia pada 4.3 peratus tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruntukan Bajet 2023 dijangka lebih tinggi sehingga mencecah RM350 bilion berbanding RM332.1 bilion tahun lalu yang menyaksikan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, bagi pembentangan Bajet 2023, kerajaan akan meneruskan tumpuan dalam pemberian subsidi kepada rakyat dan peniaga.

Ujarnya, berdasarkan kenaikan harga komoditi yang kekal tinggi seperti petroleum dan arang batu, peruntukan subsidi kemungkinan akan mencecah RM80 bilion jika subsidi pukal dikekalkan. 

“Jika subsidi bersasar diperkenalkan, peruntukan subsidi akan lebih rendah tetapi penjimatan daripada itu kemungkinan akan disalurkan kepada rakyat dan peniaga melalui bantuan tunai secara langsung. 

“Semua sektor dijangka akan diberi keutamaan tetapi sektor pendidikan akan kekal menerima peruntukan terbesar diikuti sektor kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, belanjawan kali ini pasti menarik kerana rakyat akan melihat bagaimana kerajaan menggunakan polisi fiskal untuk menyokong kegiatan ekonomi domestik berdasarkan cabaran global semasa.

Selain itu katanya, peruntukan untuk subsidi akan melebihi RM31 bilion seperti yang diperuntukkan bagi 2022 kerana situasi semasa menunjukkan subsidi bertambah melebihi RM80 bilion terutama disebabkan peningkatan subsidi bahan api.

“Bajet 2022 dibuat berdasarkan harga minyak mentah pada AS$70 setong tetapi kini harga semasa hampir AS$90 setong, tambahan lagi penyusutan mata wang ringgit berbanding dolar turut menjadi faktor kenaikan subsidi bahan api.

“Untuk subsidi lain seperti minyak masak dan makanan dijangka akan lebih stabil selari dengan penurunan harga kebanyakan komoditi apabila dunia diramal melalui fasa kemelesetan tahun 2023 nanti.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan pengenalan subsidi bersasar secara berperingkat bermula dengan minyak diesel bagi membanteras penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi runcit yang diberikan secara pukal seperti sekarang,” jelasnya.

Dalam pembentangan Bajet 2022, sebanyak RM233.5 bilion (70.3 peratus) disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), RM75.6 bilion (22.8 peratus) untuk perbelanjaan pembangunan (DE) dan baki RM23 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19).

Dari segi peruntukan sektoral, RM133.2 bilion (40.1 peratus) daripada jumlah keseluruhan Bajet 2022 akan diperuntukkan untuk program dan projek di bawah sektor sosial, diikuti sektor ekonomi (20.3 peratus), keselamatan (10.3 peratus) dan pentadbiran am (4.8 peratus).

Baki berjumlah RM81.3 bilion (24.5 peratus) pula diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya