LONDON: Tindakan dana pencen United Kingdom (UK) menjual aset-asetnya di seluruh dunia untuk meningkatkan margin (aliran tunai), mencetuskan kebimbangan kepada pasaran global, lapor Bloomberg.
Di AS, bon pelaburan gred korporat jatuh dengan harga purata sekitar 86 sen berbanding 90 sen pada 21 September lalu.
Menurut pelabur di Wall Street, dana pencen UK telah menyumbang kepada tekanan jualan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Di Eropah, pinjaman yang digabungkan ke dalam bon dikenali sebagai obligasi pinjaman bercagar turut mengalami tekanan. Senario sama berlaku di Australia, dengan pelabur dilaporkan telah diminta untuk membida sekuriti bersandarkan gadai janji yang sedang dilelong.
Menurut laporan Bloomberg, dana pencen UK menjual aset-asetnya untuk memastikan mereka mempunyai aliran tunai bagi membayar pencen golongan pesara walaupun kadar faedah berubah, dengan menggunakan teknik `pelaburan didorong liabiliti’ (liability driven investment (LDI).
Bagaimanapun, banyak dana LDI hampir `meletup’ selepas hasil daripada bon kerajaan melonjak selepas kerajaan mendedahkan pemotongan cukai menyeluruh pada 23 September lalu, mendorong Bank of England (BOE) menawarkan sokongan sementara kepada pasaran beberapa hari kemudian.
BOE turut mengesahkan rancangannya untuk menamatkan program pembelian bon kecemasan pada Jumaat ini. Kelmarin, BOE berkata, ia telah membeli lebih daripada £4.4 bon jangka panjang, namun masih di bawah pembelian harian maksimum sebanyak £10 bilion.
Bank pusat itu berharap, langkah sokongan pembelian bonnya akan mewujudkan `momentum’ besar sehingga tiada pihak akan ragu-ragu bahawa mereka akan campur tangan untuk meredakan kegawatan pasaran, menurut sumber.
Pengurus aset dan pelanggan dana pencen dilaporkan bekerja keras untuk menghadapi penamatan program BOE tersebut.
Ketua Sindiket Korporat Gred Pelaburan Eropah Barat Citigroup Inc, Janusz Nelzon berkata, buat masa ini, pasaran tidak mempunyai keyakinan bahawa krisis LDI tidak akan berulang.
“Ia telah meningkatkan kebimbangan bahawa masalah kewangan lain boleh menyebabkan isu. Sehingga kita melihat sedikit kestabilan dalam kadar pasaran, tidak kira dari mana ia mungkin datang, pelabur akan terus bimbang mengenai pegangan mereka,” katanya. – AGENSI










