Pendigitalan dapat wujud persekitaran lebih telus - Utusan Malaysia

Pendigitalan dapat wujud persekitaran lebih telus

Penerima Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar (kanan) bercakap pada sidang akhbar selepas Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam di Hotel Shangri-La di sini, hari ini. - FARIZ RUSADIO/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendigitalan dan teknologi pintar dalam perbankan dapat mewujudkan persekitaran yang telus dan boleh dipercayai kepada pemegang saham dan orang awam.

Pemenang Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, teknologi bukan sahaja dapat menjadikan urusan lebih efisien, kos efektif, inklusif tetapi juga menentukan pematuhan dilaksanakan dengan betul supaya ia lebih telus.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia itu berkata, industri teknologi kewangan Islam (fintech) adalah masih baharu dan ia lebih sekadar pendigitalan dalam perbankan.

“Saya rasa langkah pertama yang perlu dilakukan adalah supaya bank beralih kepada pendigitalan kerana masih ada lagi bank yang belum secara sepenuhnya mengadaptasi pendigital dalam perniagaan mereka.

“Jadi, teknologi ini akan membawa kepada pemikiran pintar dalam sistem dan selepas itu saya bayangkan dalam masa beberapa tahun lagi operasi bank tidak lagi mengira masa dan tidak ada berat sebelah.

“Sistem tersebut boleh menganalisis sepanjang 24 jam dan tujuh hari seminggu. Jadi, orang ramai dapat membuat permohonan pada malam dan mendapat kelulusan pada siangnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 di Hotel Shangri La, di sini hari ini.

Turut mencemar duli bagi menyampaikan anugerah tersebut adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diiringi oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Berangkat sama adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sementara itu, Mohd. Daud berkata, cabaran lain yang dihadapi dalam kewangan Islam adalah pembangunan bakat yang akan melakukan kerja-kerja yang diambil alih oleh sistem-sistem tersebut.

“Kita melakukan penambahbaikan dalam masa lima ke 10 tahun akan datang dengan mengadakan bakat baharu dalam pengurusan yang akan mengawal sistem pintar tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya