Nestlé Malaysia catat untung bersih lebih rendah

Nestlé Malaysia catat untung bersih lebih rendah

PELBAGAI produk makanan keluaran Nestle Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestlé (Malaysia) Bhd. mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM112.65 juta pada suku ketiga (S3) tahun kewangan berakhir 30 September 2022, jatuh 23.9 peratus berbanding RM148.02 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Nestle berkata, untung yang lebih rendah tersebut didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi, kadar pertukaran yang tidak menguntungkan dan Cukai Makmur ‘one-off’.

Katanya, pendapatan sesaham pengeluar makanan dan minuman tersebut susut kepada 48.04 sen daripada 63.12 sen tahun lalu.

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham dengan 17 November sebagai tarikh akhir dan pembayaran pada 15 Disember ini.

Tambahnya, Kumpulan mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 17.01 peratus kepada RM1.68 bilion pada suku tersebut daripada RM1.44 bilion tahun sebelumnya didorong oleh jualan domestik dan eksport yang lebih tinggi serta pemulihan berterusan saluran out-of-home (OOH).

“Jualan domestik meningkat 13.5 peratus dan jualan eksport  naik 30.2 peratus disebabkan oleh aktiviti ekonomi terus stabil di peringkat tempatan dan global.

“Saluran OOH terus pulih berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang menyaksikan perniagaan OOH terjejas oleh sekatan pergerakan di kawasan tertentu di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Kumpulan merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 6.51 peratus kepada RM487.48 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini daripada RM457.71 juta tempoh sama tahun sebelum ini.

Peningkatan tersebut berikutan jualan yang lebih tinggi dan perbelanjaan Covid-19 yang lebih rendah yang membantu mengurangkan sebahagian kesan kenaikan harga komoditi, kadar pertukaran yang tidak menguntungkan dan Cukai Makmur.

“Melangkah ke suku akhir tahun, Nestlé kekal dalam kedudukan berdaya tahan untuk menghasilkan pertumbuhan kukuh selama setahun.

“Namun, Kumpulan akan terus bergelut dengan keadaan pasaran yang sukar disebabkan oleh kos komoditi yang lebih tinggi dan kos tenaga dalam keadaan mencabar dan persekitaran global yang tidak menentu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN