PETALING JAYA: peruncit perkakas rumah, Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y.) menyampaikan sumbungan barangan keperluan harian kepada kepada anak yatim serta kanak-kanak di Selangor dan Sabah.
Menurut kenyataannya, lebih 120 anak yatim dari Rumah Anak Kesayanganku (Barokah) di Bandar Bukit Beruntung, Rawang menerima manfaat bantuan barangan keperluan bagi membantu memenuhi keperluan harian rumah kebajikan tersebut.
Katanya, Kumpulan menggerakkan pasukan sukarelawan MR D.I.Y. Cares untuk mengendalikan pemilihan peralatan pembersihan dan detergen, barangan keperluan diri dan barangan runcit.
“Penjaga rumah kebajikan tersebut, Ustaz Malik Raswan meluahkan penghargaan dan menyatakan bahawa sumbangan tersebut datang tepat pada masanya memandangkan sumbangan orang ramai yang amat diharapkan oleh rumah kebajikan itu telah jauh berkurangan sejak pandemik Covid-19 bermula.
“Beliau berharap lebih ramai penderma akan tampil untuk membantu rumah-rumah kebajikan sedemikian yang bergantung kepada bantuan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam program berasingan, 50 murid sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bolong, Tuaran, Sabah telah menikmati pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna dalam kem motivasi OutREACH SK Bolong.
Menurutnya, program tersebut dianjurkan oleh Kelab Pembangunan Kemahiran Sosial Kanak-Kanak Sekolah Luar Bandar dan Pedalaman Malaysia (REACH) disokong oleh MR D.I.Y. dan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS).
MR D.I.Y. menyumbangkan barangan keperluan aktiviti yang digunakan dalam modul-modul pembelajaran tersebut yang menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MEB) 2013-2025.
Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y., Datuk Azlam Shah Alias berkata, walaupun situasi kini hampir kembali kepada normal, sesetengah rumah kebajikan masih menghadapi kesukaran kerana mereka mengharapkan sumbangan orang ramai untuk terus beroperasi bagi membantu golongan yang amat memerlukan.
“Kami percaya, MR D.I.Y. sebagai jenama kelahiran Malaysia dan peruncit terkemuka boleh menghasilkan impak yang positif dengan menyumbangkan barangan keperluan harian dan bahan-bahan yang diperlukan untuk program-program pembelajaran.
“Kami berharap dengan berbuat demikian, kami bukan sahaja dapat menghasilkan impak yang positif, tetapi juga memberi inspirasi kepada syarikat-syarikat korporat lain untuk mengambil inisiatif yang sama. Bersama-sama, kita boleh menghasilkan perubahan yang sebenar,” katanya. – UTUSAN










