Mesti punyai keyakinan terhadap tanaman `emas' ini - Zuraida

Mesti punyai keyakinan terhadap tanaman `emas’ ini – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit Malaysia yang melemah kebelakangan ini sememangnya sudah dijangka memandangkan harga pasaran saham dunia juga telah menyusut, susulan kenaikan kadar faedah didorong situasi inflasi yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh mencetuskan kegawatan ekonomi.

Kenanga Research juga menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) sebagai ‘masih baik’ pada purata RM4,50O satu tan metrik (MT) pada 2022 dan RM4,000 MT pada 2023 walaupun tidak lagi berada di kemuncaknya yang mencecah lebih RM8,000 MT pada Mac 2022.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sektor perladangan sawit juga dibebani kos pengeluaran yang melonjak disebabkan peningkatan harga baja, upah buruh dan perbelanjaan pengangkutan.

Namun katanya, secara keseluruhan, semua kos berkaitan dijangka berada dalam lingkungan RM2,000 hingga RM2,500 setiap MT, sekali gus masih mampu menjana margin huluan yang sihat bagi sektor perladangan itu.

Jelasnya, ketika ini, minyak sawit dan minyak kacang soya yang masing-masing dengan sekitar 35 dan 25 peratus penguasaan pasaran, kekal sebagai minyak makan utama di pasaran dunia walaupun pengeluaran minyak sawit sudah melepasi tahap kemuncak, manakala pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat bagi musim 2022 pula baru bermula.

“Dalam aspek ini, peladang sawit sama ada syarikat besar atau pekebun kecil mesti mempunyai keyakinan terhadap tanaman ’emas’ ini memandangkan permintaan terhadap minyak makan masih mencatatkan pertumbuhan setara selama berdekad.

“Ia disokong pula dengan pertambahan populasi penduduk dunia, faktor kemewahan dan sehingga takat tertentu perubahan gaya hidup manusia kepada gaya hidup yang lebih moden,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida berkata, pandemik Covid-19 sememangnya memberi impak negatif kepada aktiviti ekonomi, terutama sektor hospitaliti, pengangkutan dan pelancongan, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit menyusut sekitar 1.0 peratus tahun ke tahun sejak 2020.

“Bagaimanapun, laporan pasaran menjangkakan permintaan kembali mencatatkan pertumbuhan 3.0 peratus berikutan ekonomi dunia pasca pandemik kini mula dibuka kembali dari semasa ke semasa.

“Walaupun timbul kebimbangan permintaan menguncup atau menurun lebih teruk berikutan ekonomi global yang perlahan dan pada masa sama dunia dibelenggu inflasi, kenaikan kadar faedah serta kerisauan terhadap kegawatan, semua itu dijangka sementara kerana China, iaitu pengguna utama minyak sawit dijangka melonggarkan secara berperingkat dasar sifar Covid-19 yang dilaksanakannya,” ujarnya.

Tambah Zuraida, dalam Bajet 2023 nanti, pihak kementerian menyarankan anjakan asas dalam strategi dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan intensif, didorong oleh hasil dan pelaburan sejajar dengan penekanan terhadap aspek kemampanan oleh negara-negara pengeluar utama dan pasaran pengguna yang semakin meningkat.

“Sebagai tambahan, kementerian juga sudah melancarkan kempen ‘Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit’ demi menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai kualiti minyak sawit Malaysia, selain membidas tuduhan palsu dan maklumat tidak tepat yang dilemparkan pihak tertentu terhadap minyak sawit negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya