PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengumumkan maklumat terperinci berkenaan kenaikan had pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB 2 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 dalam masa terdekat.
Menurut PNB, pengumuman tersebut akan dibuat melalui syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya menyambut baik pembentangan Bajet 2023.
Katanya, Bajet 2023 merupakan suatu bajet yang amat menyeluruh serta progresif yang menyentuh pelbagai aspek ekonomi, pasaran modal, keusahawanan, pendidikan, dan kesejahteraan rakyat.
“Sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, PNB dengan sukacitanya memaklumkan bahawa had pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) akan dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM200,000 bermula pada 2023.
“PNB amat berbesar hati kerana diberi peluang dalam usaha menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Selari dengan mandat PNB untuk meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia, demi kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










