KULAI: Kerajaan negeri berhasrat menjadikan pelan Kulai Fast Lane sebagai contoh bagi daerah lain sebagai usaha menggalakkan lebih ramai pelabur ke Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) itu bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan pelabur mengembangkan perniagaan di negeri ini.
Beliau berkata, kejayaan yang ditunjukkan Kulai Fast Lane hingga kini menarik perhatian kerajaan negeri untuk menamakannya semula sebagai ‘Johor Fast Lane’.
“Ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk memastikan Johor mesra pelabur dan aktiviti perniagaan dijalankan. Kami mengalu-alukan semua orang dari seluruh dunia ke negeri ini,” katanya pada perasmian Fasa Satu Data Bridge Data Centre (DBDC) di Pusat Teknologi Sedenak, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Ts. Mahadhir Aziz.
Onn Hafiz berkata, dalam usaha menjayakan visi Johor untuk menjadi negeri maju menjelang 2030, kerajaan negeri telah berusaha untuk memastikan bukan sahaja infrastruktur sedia ada ditambah baik, malah memastikan keperluan asas dipenuhi.
“Ini bagi memastikan pelabur dan rakyat kita terus selesa berada di negeri ini. Jaringan jalan raya dan utiliti seperti air semuanya adalah standard antarabangsa. Jadi, pelabur merasakan Johor adalah destinasi yang terus menyokong pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, tempoh beberapa minggu dari sekarang adalah penting bagi rakyat Malaysia termasuk penduduk di Johor bagi menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, apa sahaja keputusan yang diraih pada PRU15 itu nanti akan memberi kesan langsung terhadap Johor.
“Pada pertengahan tahun ini, Johor telah merekodkan jumlah pelaburan berjumlah RM60.9 bilion, angka tertinggi direkodkan di negara tahun ini,” katanya.
DBDC merupakan syarikat pertama berstatus Digital Malaysia yang siap dibina pada tahun ini setelah majlis pecah tanah pusat data berskala besar dibuat pada November tahun lalu. – UTUSAN










