PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) menjadi penghalang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menaik taraf operasi syarikat mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, tinjauan dalam kalangan ahlinya mendapati, ramai yang enggan melabur untuk menaikkan kapasiti mereka.
Katanya, ahli juga tidak mahu menambah baik proses dan peralatan syarikat kerana ketidaktentuan ekonomi global dan politik tempatan.
“Oleh itu, adalah kurang sesuai sekiranya OPR dinaikkan lagi kerana ia menjadi penghalang untuk lebih ramai PMKS menaiktarafkan operasi mereka.
“Walaupun ekonomi semakin pulih, pemulihan di kalangan PMKS masih lembap. Tahun lepas contohnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam kalangan PMKS cuma berkembang satu peratus berbanding 4.4 peratus di kalangan syarikat yang lebih besar.
“Kami berharap OPR tidak dinaikkan lagi dalam masa terdekat sehinggalah ekonomi kembali seperti sebelum pandemik pada 2019,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr. Abd Halim Husin berkata, pihaknya sudah mencadangkan kepada kerajaan supaya OPR tidak naikkan, namun maklum balas yang diperoleh mengatakan perkara tersebut adalah bergantung kepada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya, ahli-ahli DPMM bakal menerima tekanan apabila OPR dinaikkan kerana ia akan memberi impak kepada pembayaran pinjaman oleh pihak bank.
“Kami rasa OPR akan dinaikkan lagi pada bulan ini atau pun bulan depan sejajar mengikut rancangan Amerika Syarikat (AS) yang akan menaikkan kadar faedah sehingga 4.9 peratus bagi mengatasi inflasi di sana.
“Jika dinaikkan, ahli-ahli kami akan merasakan kesannya. Kami sudah beri cadangan pada kerajaan supaya tidak naikkan tetapi keputusan itu dibuat oleh BNM.
“Dalam cadangan itu juga kami mencadangan bagi setiap 0.25 peratus yang dinaikkan, sebanyak tiga bulan moratorium diberikan kepada semua PMKS,” ujarnya. – UTUSAN










