PETALING JAYA: Peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 bakal menarik lebih ramai pekerja tempatan menyertai sektor perladangan.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, jumlah pekerja tempatan dalam sektor berkenaan telah meningkat pada Jun lalu sebanyak 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Kata beliau, jumlah tersebut terus meningkat kepada hampir 105,000 orang pada Ogos lalu, peningkatan 2.9 peratus daripada Mei, berjumlah hampir 102,000 orang.
“Bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan menyertai sektor perladangan, syarikat-syarikat perladangan mula proaktif mempromosikan peluang-peluang kerjaya di syarikat mereka dan mengadakan temuduga terbuka di kawasan luar bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad Parveez berkata, masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam sektor perladangan terutama penuaian dan pungutan buah tandan sedar (BTS), dijangka menurun berikutan kemasukan lebih ramai pekerja Indonesia.
Beliau berkata, jumlah pekerja bagi kategori penuai dan pemungut BTS meningkat sebanyak tiga peratus sejak pembukaan sempadan kepada pekerja asing pada 1 Ogos, berbanding bulan sebelumnya.
“Pada Ogos lalu, pihak ladang melaporkan kekurangan sekitar 55,000 pekerja, meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 2021. Kekurangan tertinggi adalah bagi kategori penuai dan pemungut BTS iaitu 54 peratus atau sekitar 30,000 orang, diikuti pekerja ladang untuk kerja-kerja membaja, meracun dan memangkas iaitu 33 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, usaha-usaha mempromosikan minyak sawit seperti mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas menampakkan kejayaan.
“Usaha-usaha MPOB seperti meningkatkan produktiviti dan kemampanan, menggalakkan industri hiliran dan sebagainya bertujuan meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di samping menambah pendapatan negara untuk jangka masa panjang,” jelasnya.
Tambah beliau, harga minyak sawit mentah (MSM) pada minggu depan (31 Oktober hingga 4 November) diunjurkan berlegar antara RM3,850 hingga RM4,250 satu tan.
Katanya, prestasi itu disokong oleh pengukuhan harga minyak kacang soya dan minyak mentah Brent, kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta ketibaan musim tengkujuh yang dijangka mempengaruhi penawaran MSM di pasaran. – UTUSAN










