PETALING JAYA: Sikap tunggu dan lihat yang diambil pelabur asing terutamanya melibatkan jangkaan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan faktor jualan asing ekuiti Malaysia berkurangan kepada RM68.22 juta minggu lalu berbanding RM479.7 juta minggu sebelumnya.
Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, kelemahan ringgit serta ketidaktentuan peralihan kuasa turut menyebabkan golongan berkenaan mengambil tindakan sedemikian.
“Salah satu mungkin sikap tunggu dan lihat terutama jangkaan pada pilihan raya yang akan datang memperlahankan pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Shazida Jan berkata, pengurangan jualan asing ekuiti negara berkenaan juga merupakan petanda baik dan petunjuk kepada pengurangan dalam kadar inflasi.
“Walaupun masih peringkat awal dan kadar inflasi mulai perlahan tapi kita mesti terus memantau keadaan inflasi dan jika benar kadar inflasi akan terus berkurang bermakna ada kebarangkalian akan menstabilkan kadar faedah pasaran.
“Namun perlu diingatkan kita perlulah mengambil sikap berjaga-jaga kerana keadaan ekonomi global yang sentiasa berubah dan memberi risiko kepada pasaran,” katanya.
Katanya, kerancakan sektor korporat yang lebih baik berbanding masa kini berbanding 2021 juga menjadi faktor penggalak kepada pelabur asing untuk kembali melabur dan mengekalkan kepercayaan kepada pasaran tempatan.
“Kerancakan ekonomi dengan pemulihan yang berlaku memberi keyakinan kepada pelabur dengan kadar inflasi Malaysia yang masih dianggap rendah berbanding dengan negara lain,” katanya.
Sementara itu, Pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob ketika dihubungi turut memaklumkan pelaksanaan PRU15 pada 19 November ini memainkan peranan dalam pengurangan jualan ekuiti asing terbabit ekoran pelabur asing mengamalkan sikap tunggu dan lihat.
Katanya, pelabur-pelabur asing dilihat berharap agar mana-mana parti yang menerajui kerajaan selepas PRU15 akan mengekalkan Bajet 2023 atau melakukan perubahan tidak ketara ke atas belanjawan negara berkenaan yang dibentang sebelum ini.
Jelasnya, kestabilan ekonomi serta dan peratusan inflasi yang stabil tanpa ada peningkatan dilihat bakal memberi kesan kepada ekonomi negara terutamanya melibatkan pendapatan syarikat-syarikat korporat.
“Bagi saya itu adalah salah satu petanda maknanya pelabur itu mempunyai keyakinan dan ekonomi kita bertambah baik, kalau bertambah teruk saya rasa ramai angkat kaki.
“Macam saya kata tiada gangguan ekoran kita bakal berhadapan PRU, jadi saya rasa itu memberi impak kepada keputusan mereka masih lagi mengekalkan pelaburan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










