PETALING JAYA: Jentayu Sustainables Berhad (Jentayu Sustainables) berjaya memuktamadkan Perjanjian Pembelian Tenaga Solar di bawah Skim Penggunaan Sendiri (SELCO) dengan Outspan Malaysia Sdn Bhd (Outspan).
Outspan yang merupakan anak syarikat Olam International Limited yang berpangkalan di Singapura mempunyai fasiliti di Zon Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas mengendalikan kilang pemprosesan tenusu yang menghasilkan susu tepung penuh lemak dan bahan tenusu.
Pengerusi Eksekutif Jentayu Sustainables, Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata, perjanjian tersebut bernilai lebih daripada RM5 juta untuk tempoh kontrak 20 tahun pada tarif tetap yang telah dipersetujui sebelumnya.
Katanya, ia membolehkan Outspan membeli elektrik pada kadar yang lebih rendah daripada grid, memberikan mereka penjimatan kira-kira 10 peratus sepanjang tempoh kontrak.
“Sifar pelaburan atau perbelanjaan modal (capex) diperlukan daripada Outspan dan semua sistem Tenaga Fotovoltan (PV) solar atas bumbung yang berkaitan serta kos pemasangan akan ditanggung oleh Jentayu Sustainables.
“Perjanjian ini berfungsi sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan perniagaan Jentayu Sustainables dan seterusnya menyokong aspirasi dan keperluan sifar bersih Kumpulan OLAM ke arah beralih kepada penggunaan tenaga yang mampan dan lebih bersih.
“Kami memuji komitmen mereka ke arah membina perniagaan yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, perjanjian tersebut juga bertujuan untuk mengenal pasti lebih banyak peluang dan kemungkinan sinergi serantau yang melangkaui sistem PV solar seperti sijil tenaga boleh diperbaharui dan pemerolehan kredit karbon, audit dan perundingan berkaitan karbon.
“Kami kekal teguh dalam usaha kami untuk menjadi pemain tenaga lestari yang terkemuka, membina dari kekuatan ke kekuatan, bergantung pada kemampanan sebagai titik fokus kami dalam semua yang kami lakukan,” jelasnya. – UTUSAN










