Dividen tinggi lebih baik dari naikkan had maksimum pelaburan

Dividen tinggi lebih baik dari naikkan had maksimum pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PIHAK kerajaaan perlu memberi tumpuan penuh bagi memastikan kadar pemberian dividen untuk unit Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dan semua unit amanah yang ditawarkan kepada rakyat meningkat dengan lebih tinggi dan bukan hanya memberi tumpuan terhadap usaha untuk menaikkan had maksimum pelaburan seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri Kewangan melalui proses pembentangan Bajet 2023 baru-baru ini di Parlimen.

Melalui proses pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa untuk meningkatkan pegangan ekuiti dalam kalangan golongan Bumiputera, pihak kerajaan mengumumkan jumlah had pegangan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB2 dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000 ketika ini.

Selain itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) juga akan menyediakan dana pinjaman mudah untuk membantu B40 Bumiputera melabur dalam ASB dengan tawaran pinjaman pada kadar 1.5 peratus melibatkan dana RM100 juta.

Persoalan harus ditanya, adakah rakyat Malaysia benar-benar mampu untuk melaburkan jumlah yang banyak dalam ASB, ASB2 atau di mana-mana unit amanah atau pelaburan yang ada pada ketika ini?

Penularan virus Covid- 19 semenjak awal 2020 telah menjejaskan pendapatan ramai pihak dalam negara kita khususnya golongan B40 serta mereka yang berpendapatan rendah.

Akibat daripada pengurangan pendapatan ini, ramai yang tidak memiliki jumlah wang yang banyak untuk lakukan proses pelaburan di mana-mana pun. Jadi, apa guna kita naikkan had pelaburan maksimum ASB dan ASB2 jika orang ramai tidak mampu untuk melabur ke dalamnya.

Adakah kita ingin meminta orang ramai meminjam wang daripada mana-mana pihak semata-mata untuk melakukan proses pelaburan? Adakah dasar meminjam ini bijak dan sesuai untuk dilakukan untuk tempoh jangka masa panjang?

Kita pun tidak ketahui keadaan ekonomi pada masa akan datang nanti. Jika keadaan ekonomi bertambah buruk, bagaimana pelabur-pelabur yang telah lakukan proses pinjaman ini hendak membayar kembali segala pinjaman serta segala kadar faedah yang telah dikenakan terhadap pinjaman yang telah mereka lakukan semata-mata untuk melabur dalam ASB, ASB2 atau mana-mana unit amanah yang ada?

Persoalan yang paling pen­ting, apa gunanya juga jika had maksimum ASB dan ASB2 dinaikkan jika kadar pemberian dividen yang bakal diumumkan kelak menurun ataupun kecil sahaja? Oleh yang demikian, daripada menaikkan had maksimum pelaburan dalam ASB dan ASB2, adalah lebih baik sekiranya pihak kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan kadar pemberian dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ditawarkan adalah tinggi untuk tahun-tahun yang akan datang.

Kadar pemberian dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ada setiap tahun pun dilihat makin lama makin menurun. Usaha harus diper­tingkatkan bagi menaikkan semula kadar pemberian kadar dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ada ini setiap tahun kepada semua pelabur unit amanah yang terlibat.

Pihak kerajaan boleh berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) terhadap langkah – langkah yang perlu diambil bagi memastikan kadar pemberian dividen untuk semua unit amanah ini untuk tahun-tahun akan datang adalah tinggi serta memuaskan dan, yang paling penting tidak menurun.

Umum telah pun ketahui mengenai masalah perkembangan ekonomi global yang sedang bergerak perlahan pada ketika ini akibat daripada masalah inflasi. Oleh itu, agak sukar untuk pihak-pihak yang berkaitan memastikan pulangan dividen untuk semua unit amanah ini tinggi serta memuaskan hati semua pelabur.

Namun, rakyat Malaysia tetap berkeyakinan dengan tahap kemampuan pihak kerajaan serta pengurus unit pelaburan yang berkaitan untuk memastikan pulangan dividen yang diberikan adalah tinggi dan memuaskan hati walaupun keadaan ekonomi semasa ketika ini tidak menggalakkan dan penuh mencabar.

DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN