Betamek tumpu R&D, kembang penawaran produk

Betamek tumpu R&D, kembang penawaran produk elektronik automotif

BETAMEK sedia mengembangkan penawaran produk elektronik automotif melalui aktiviti R&D.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Betamek Berhad (Betamek) berhasrat memberi tumpuan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS), hiburan dan ketersambungan, Internet Benda (IoT) serta aksesori  kenderaan.

Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir dalam kenyataan berkata, syarikat pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu menganggap masih banyak peluang yang belum diterokai dalam segmen produk berkenaan.

Menurutnya, tumpuan akan diberi dalam bidang aplikasi akhir produk tersebut yang melibatkan rangkaian peranti yang dibenamkan dengan elektronik, penderia, penggerak dan ketersambungan rangkaian.

Tambahnya,  ia termasuk Bluetooth, Wi-Fi, 4G, 5G dan teknologi masa depan lain yang memacu industri automotif ke arah reka bentuk produk generasi baharu.

“Sehingga 31 Ogos 2022, kami masih di peringkat awal menjalankan R&D bersama dengan rakan kongsi teknologi kami, dan kami telah mengkomersialkan beberapa teknologi ini sebagai ciri dalam model kenderaan terbaharu Perodua.

“Kami akan terus mengenal pasti teknologi baharu yang kami anggap mempunyai potensi pertumbuhan yang ketara dan memperkenalkannya sebagai ciri dalam penawaran produk kami, terutamanya yang mungkin mempunyai potensi sinergi dengan kategori produk utama kami yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, syarikat penyedia penyelesaian EMS sehenti kepada pembuat automotif itu dalam kenyataan sama turut menyatakan keyakinan terhadap permintaan produk audio visual (AV) dan aksesori kenderaan akan terus berkembang memandangkan pelanggan utamanya Perodua terus menunjukkan peningkatan permintaan bagi kenderaannya.

Jelasnya lagi, Betamek mempunyai peluang untuk memanfaatkan trend pasaran yang semakin meningkat memandangkan kenderaan pemanduan hibrid, elektrik dan autonomi memperoleh bahagian dalam pasaran global.

“Betamek juga berada dalam kedudukan yang unik untuk mengembangkan serta mempelbagaikan penawaran produknya dengan penyelesaian yang kompetitif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN