Benarkan sekali lagi pengeluaran KWSP - Utusan Malaysia

Benarkan sekali lagi pengeluaran KWSP

ORANG ramai memeriksa jumlah caruman untuk memohon pengeluaran KWSP pada April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa membenarkan sekali lagi pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Rayuan itu turut diluahkan melalui media sosial milik Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, masih ramai rakyat berharap pengeluaran KWSP dibenarkan meskipun terdapat tentangan daripada segelintir pihak.

Menurutnya, kerajaan perlu memikirkan bebanan yang ditanggung rakyat selepas kenaikan OPR sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1.75 hingga ke 2.25 peratus disamping inflasi yang dihadapi sehingga membawa kepada kenaikan kos sara hidup. 

“Memang sebenarnya mereka perlukan (pengeluaran one-off KWSP) sebab itu duit mereka yang bekerja dan di dalam keadaan terdesak, mereka fikir itu alternatif untuk mereka tampung perbelanjaan.

“Sekarang inflasi meningkat dan kita lihat hutang isi rumah juga meningkat ekoran terbeban dari segi pinjaman akibat kenaikan OPR yang dikenakan pihak bank.  

“Dengan pengeluaran khas ini, ia dapat menampung perbelanjaan isi rumah untuk jangka pendek di samping menggalakkan kitaran wang dalam negara kerana rakyat akan mula membeli apabila terdapat aliran tunai, seterusnya memberi kesan positif kepada pusingan kitaran ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamad Idham berkata, kerajaan juga perlu mengambil inisiatif tambahan dengan mewujudkan kempen perbelanjaan berhemah menggunakan wang KWSP sekiranya pengeluaran one-off tersebut dibenarkan sekali lagi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff berkata, pengeluaran one-off KWSP di dalam bajet 2023 dilihat hanya memberi manfaat besar kepada golongan T20 dan sebahagian M40.

Jelasnya, kebanyakkan pencarum B40 tidak akan menerima manfaat berkenaan lantaran data KWSP menunjukkan majoriti pencarum terutamanya bangsa Melayu tidak mempunyai simpanan mencukupi di dalam KWSP mereka.

“Kerajaan sewajarnya memberi tumpuan untuk menambah jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan menjadikannya lebih berkala dan bukan secara one-off.

“Selain itu, pemberian baucar elektronik (e-baucar) di bawah kaedah muqassah kepada semua isi rumah B40 juga mampu membantu rakyat di mana ia boleh ditukar dengan barangan keperluan asas setiap bulan.

“Peniaga akan mengumpul e-baucar ini dan menebus dengan kerajaan melalui pengurangan pembayaran cukai korporat. 

“Kelebihan e-baucar berbanding bantuan tunai seperti sekarang ialah dapat memastikan bantuan tersebut tidak digunakan untuk maksud lain dan kerajaan tidak perlu menambah hutang untuk memberi bantuan tunai kerana menggunakan konsep muqassah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.