SYDNEY: Kerajaan Australia sedang berusaha untuk bekerjasama dengan pelabur institusi dan dana pencen bagi membina lebih banyak rumah sewa mampu milik di negara itu.
Kerajaan akan membelanjakan A$350 juta (RM1.05 bilion) untuk membina 10,000 rumah dalam tempoh lima tahun mulai 2024, menurut kenyataan yang dikeluarkan menjelang belanjawan Persekutuan pada Selasa, lapor Bloomberg.
Menurutnya, pembiayaan itu bertujuan untuk memberi insentif kepada beberapa pelabur terbesar negara untuk menyokong projek dalam usaha merapatkan jurang antara sewa pasaran dan bersubsidi.
“Berbanding dengan negara yang setaraf, Australia mempunyai tahap pelaburan institusi yang rendah dalam perumahan,” kata kerajaan dalam dokumen dasar Perjanjian Perumahan Nasional.
“Pada masa yang sama, kami mempunyai kumpulan modal ketiga terbesar di dunia dalam sistem persaraan kami, yang mendambakan pelaburan dan memberikan pulangan stabil dalam jangka panjang untuk manfaat ahli,” jelasnya lagi.
Industri pencen Australia dilaporkan mempunyai simpanan berjumlah AS$3.3 trilion (AS$2.1 trilion/RM9.88 trilion).
Kadar sewaan yang ‘meroket’ di Australia, salah satu pasaran perumahan paling tinggi di dunia, bermakna ramai rakyatnya bergelut untuk mencari tempat yang sesuai.
Data kerajaan menunjukkan, kadar kekosongan negara berada pada rekod terendah 0.9 peratus, manakala sewa yang diiklankan di kawasan ibu kota melonjak 10.2 peratus pada tahun ini hingga September lalu.
“Kerajaan mencadangkan takrifan rumah mampu milik sebagai hartanah yang disediakan pada harga sewa di bawah pasaran kepada penyewa yang layak. Ia mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dan wilayah,” menurut kenyataan itu. – AGENSI










