AHB umum 5.0 peratus agihan pendapatan 2022

AHB umum 5.0 peratus agihan pendapatan 2022

MAHMUD FAUZI MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan akhir dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 30 September 2022.

Jumlah ini terhasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.18 sen seunit dan pe­ngagihan bonus sebanyak 0.32 sen seunit.

Jumlah bonus yang diberikan adalah sumbangan daripada PHB selaku penaja dana AHB dan pengagihan bonus adalah terhad kepada 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

Pada April 2022, PHB dan MAM telah mengumumkan pe­ngagihan pendapatan interim sebanyak 2.15 sen seunit berserta pengagihan bonus sebanyak 35 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2022.

Ia menjadikan jumlah penga­gihan pendapatan AHB seba­nyak 5 sen seunit dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM183.06 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran di dalam pasaran semasa, aktiviti penyewaan tahun ini telah meningkat secara beransur-ansur berbanding 2021.

“Sejak 2011, AHB telah membayar pengagihan pendapatan lebih kurang RM1.87 bilion kepada para pelabur. PHB adalah sebuah syarikat operasi tunggal kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah institusi amanah yang bernaung di bawah bidang kuasa kerajaan.

“Selain mempunyai harga tetap berjumlah RM1 untuk setiap unit, AHB turut menawarkan banyak lagi ciri-ciri yang menarik seperti pengeluaran segera, patuh syariah dan penga­gihan pendapatan sebanyak dua kali setiap tahun,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmed Muzni Mohamed berkata, pihak­nya akan meneruskan skim pelaburan semula pengagihan pendapatan khusus untuk pemegang unit runcit dimana agihan pendapatan yang diperoleh akan dilaburkan semula sama ada sebahagian atau keseluruhan unit.

“Pemegang unit runcit de­ngan baki bulanan minimum 10,000 unit atau kurang akan menerima agihan pendapatan secara tunai, manakala mereka yang mempunyai lebih daripada 10,000 unit, akan menikmati agihan pendapatan dalam bentuk unit AHB.

“Bagi pemegang unit institusi, mereka akan terus menerima agihan pendapatan secara tunai. AHB membenarkan pengeluaran dan penebusan segera buat para pelabur yang menerima agihan pendapatan dalam unit AHB dan para pelabur boleh menukar unit tersebut kepada tunai di cawangan bank berdekatan,” ujarnya.

Tambah Mahmud Fauzi, menjelang hujung tahun 2022, AHB akan melancarkan aplikasi mudah alih “MyAHB” bagi membolehkan pemegang unit memantau dan menguruskan pelaburan AHB mereka dengan mudah dari rumah.

“Aplikasi mudah alih MyAHB membolehkan pemegang unit melihat portfolio pelaburan dan baki akaun mereka, melanggan unit tambahan atau menebus pelaburan mereka dari dalam talian.

“Ia juga boleh menjejaki transaksi terkini dan memuat turun penyata akaun,” ujarnya.

Pengagihan pendapatan AHB ini adalah dikecualikan dari cukai dan telah dizakatkan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang-pemegang unit pada 14 Oktober 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN