CAMERON HIGHLANDS: Agrobank sehingga kini telah meluluskan 187 permohonan untuk program Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) dan Dana Pembiayaan Agromakanan 2 (DPA2) peringkat negeri ini yang keseluruhannya berjumlah RM41 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sehingga 15 Oktober lalu, Agrobank menerusi pejabat Wilayah Pahang telah menerima 304 permohonan DPAKM dengan nilai RM75 juta.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 187 permohonan telah diluluskan di bawah program DPAKM dan DPA2 dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM41 juta.
“Kami kini sedang memproses permohonan pembiayaan daripada dana ini dan ia dijangka diluluskan pada tahun ini,” katanya dalam kenyatan di sini semalam.
Agrobank pada Ahad lalu menyampaikan replika cek berjumlah RM41,007,500 kepada wakil penerima DPAKM dan DPA2 peringkat negeri ini yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, pelaksanaan DPAKM dan DPA2 yang diperuntukkan RM1 bilion di bawah Agrobank ini dilaksanakan bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara sekali gus memperkasakan sektor pengeluaran makanan.
“Apa yang menariknya program DPAKM ini menawarkan tempoh pembiayaan kompetitif sehingga lapan setengah tahun dengan kadar keuntungan serendah tiga peratus.
“Selain itu, bagi tempoh enam bulan pertama, Agrobank turut memberikan moratorium secara automatik pada kadar keuntungan sifar peratus dan ini bermakna para pelanggan akan dikenakan kadar keuntungan serendah tiga peratus hanya pada bulan ketujuh pembiayaan dan seterusnya,” katanya.
Beliau menambah, selain DPAKM, Agrobank turut menawarkan Program Pemulih NewBiz yang merupakan inisiatif berterusan syarikat perbankan itu dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) sektor pertanian.
“Ini bagi memenuhi tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ dengan menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan seperti asnaf selain menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan, namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga.
“Agrobank mengalu-alukan rakyat Malaysia yang terkesan dek cabaran ekonomi semasa untuk terus berkunjung ke cawangan Agrobank terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut Program Pembiayaan Pemulih NewBiz melalui pegawai-pegawai Agrobank kami di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










