PETALING JAYA: Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.04 bilion (RM9.46 bilion) untuk tempoh 12 bulan akan datang, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$9.39 bilion (RM43.52 bilion).
“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara.
“Satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah AS$399.5 juta (RM1.85 bilion),” katanya menerusi Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa bagi Ogos 2022 hari ini.
BNM memberitahu, aset rizab rasmi Malaysia tetap boleh guna pada akhir Ogos 2022 berjumlah AS$108.23 bilion (RM502.30 bilion), berdasarkan format Standard Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Jelasnya, aset mata wang asing lain pula berjumlah AS$5.3 juta (RM24.57 juta) pada tempoh dilaporkan.
Katanya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Menurut bank pusat itu, kedudukan jualan hadapan adalah sebanyak AS$15.07 bilion (RM69.85 bilion) pada akhir Ogos 2022, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
Jelasnya, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” jelasnya. – UTUSAN










