Jangan lupa Thalita itu sudah jadi penyanyi - Utusan Malaysia

Jangan lupa Thalita itu sudah jadi penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aduhai, Cik Bunga kadang-kadang pening juga membaca komen sesetengah warganet. Ada sahaja yang tidak kena di mata mereka. Terbaharu, Cik Bunga terdengar ada kurang berkenan dengan penampilan penyanyi muda, Thalita. Kononnya dia gemar bersolek dan membawa imej yang kelihatan lebih dewasa daripada usia sebenar.

Alahai, takkanlah perkara begitu pun hendak dijadikan isu besar?

Pada pandangan Cik Bunga, kita kenalah pandai membezakan antara penampilan seseorang ketika bekerja dengan kehidupan hariannya. Sudah namanya penyanyi dan anak seni, tentulah Thalita perlu tampil bersiap, mengenakan solekan serta pakaian yang sesuai apabila membuat persembahan, menjalani sesi fotografi atau menghadiri acara hiburan.

Tak akanlah hendak naik ke pentas dengan gaya seperti baru bangun tidur pula?

Dunia hiburan memang menuntut artis menjaga penampilan. Solekan pula bukan bermakna seseorang itu mahu kelihatan lebih tua daripada usia sebenar. Kadang-kadang, pencahayaan pentas, konsep persembahan dan acara yang dihadiri memang memerlukan solekan tertentu supaya penampilan artis kelihatan lebih kemas dan menyerlah.

Cik Bunga percaya, dalam kehidupan seharian, Thalita juga sama sahaja seperti remaja lain seusianya. Mungkin ada masanya dia tampil ringkas, santai dan tidak bersolek tebal. Kita yang melihat beberapa gambar atau rakaman pendek di media sosial janganlah terus membuat kesimpulan seolah-olah itulah penampilannya selama 24 jam sehari.

Kasihan juga kalau difikirkan. Bersolek dikritik kerana dikatakan terlalu dewasa. Kalau tidak bersolek, nanti ada pula yang berkata tidak pandai menjaga penampilan dan tidak sesuai menjadi penyanyi. Pakai cantik dikata berlebihan, pakai sederhana mungkin dikatakan tidak ada aura bintang.

Jadi, yang bagaimana sebenarnya boleh memuaskan hati semua orang?

Bagi Cik Bunga, selagi penampilan Thalita masih bersesuaian dengan acara dan tidak melampaui batas, berilah ruang kepada penyanyi muda itu menjalankan kerjanya.

Kritikan itu tidak salah, tetapi biarlah berpada-pada dan berasas. Jangan sampai perkara sekecil gincu, solekan dan gaya rambut pun hendak dijadikan modal untuk menghentam seseorang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN