Baru-baru ini, Cik Bunga ada dengar cerita mengenai penyanyi bersuara mantap, Nadeera. Kata sumber, ada pihak media berdepan kesukaran untuk mendapatkan sesi temu bual bersamanya.
Kononnya, Nadeera kurang berminat untuk ditemu bual sekiranya soalan yang bakal diajukan menyentuh hal peribadi. Kalau mahu bercakap mengenai lagu dan kerjaya sahaja, bolehlah. Begitulah lebih kurang cerita yang sampai kepada Cik Bunga.
Cuma Cik Bunga tertanya-tanya juga, kalau setakat mahu bercerita mengenai lagu semata-mata, bukankah maklumat itu boleh sahaja disampaikan menerusi siaran akhbar?
Temu bual dengan media biasanya menarik kerana ada sisi lain yang boleh dikongsikan kepada pembaca, selagi soalan yang ditanya masih dalam batas kewajaran dan bukannya menceroboh ruang terlalu peribadi.
Cik Bunga faham, setiap artis ada hak untuk menetapkan sempadan. Bukan semua perkara dalam kehidupan perlu dicanang kepada satu Malaysia. Tetapi dalam masa sama, hubungan baik dengan media juga penting dalam perjalanan seorang anak seni. Hari ini kita mungkin berada di atas, esok lusa siapa tahu bagaimana putaran roda industri.
Lagipun, Cik Bunga masih ingat ketika Nadeera mula-mula mencipta nama dahulu. Orangnya nampak merendah diri, mudah didekati dan tidak banyak kerenah.
Janganlah pula sejak sudah semakin cantik dan popular, perangai pun dikatakan ikut berubah. Cik Bunga bukan menuduh. Cik Bunga cuma tertanya-tanya berdasarkan cerita yang dibisikkan orang. Mana tahu sebenarnya ada salah faham atau pihak pengurusan yang menetapkan syarat tertentu.
Sebab itu, Cik Bunga berharap cerita yang sampai ini sekadar khabar angin. Sayanglah kalau seorang penyanyi berbakat seperti Nadeera mula mendapat persepsi kurang menyenangkan hanya kerana isu komunikasi dengan pihak media.
Apa pun, Nadeera seorang penyanyi yang mempunyai bakat besar dan perjalanan seninya masih panjang. Jangan kerana cerita kecil begini, hubungan dengan orang sekeliling pula menjadi renggang.
Cantik itu satu bonus, bakat itu anugerah, tetapi sikap yang baik dan merendah diri itulah yang biasanya membuatkan seseorang artis terus disenangi.Harap-harap semuanya cuma salah faham. Kalau tidak, Cik Bunga pun hendak tahu juga. Apa sebenarnya sudah jadi?










