Tyson Foods saji makanan halal kepada dunia - Utusan Malaysia

Tyson Foods saji makanan halal kepada dunia

TAN SUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Permintaan terhadap protein terutama makanan berasaskan daging dengan status halal terus meningkat di pasaran tempatan dan global.

Sebagai antara pembekal protein terbesar di dunia, Tyson Foods mempunyai rancangan untuk menyajikan lebih banyak produk berkualiti tinggi dengan profil rasa yang berbeza kepada pengguna.

“Kami berada di kedudukan di mana kami ‘menyajikan makanan’ secara lestari kepada dunia di samping menyampaikan rasa yang mereka idamkan.

“Kami juga sedang giat membangunkan enam kilang pemprosesan ayam baharu di Asia. Rancangannya adalah untuk melabur lebih AS$1.3 bilion dalam keupayaan automasi yang baharu dalam tempoh tiga tahun untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan kos buruh,” kata Presiden Tyson Foods Asia Pacific, TAN SUN kepada UTUSAN MALAYSIA. Ikuti perkongsian lanjut beliau.

 

UTUSAN: Tyson telah bertapak di Malaysia selama beberapa tahun, bolehkah anda kongsikan dengan kami sorotan perjalanan anda setakat ini?

TAN SUN: Tyson Foods, salah sebuah syarikat pembekal protein terbesar di dunia telah memasuki pasaran Malaysia melalui perolehan Mac Food Services pada 2018. Sejak itu, Tyson komited untuk mengembangkan operasinya bagi meneruskan legasi dalam menyediakan komitmen halal yang berkualiti tinggi dan berterusan kepada rakyat Malaysia. Sejak mula bertapak di Malaysia, Tyson telah membuat pelaburan besar dalam menaiktaraf kemudahannya, menambah kapasiti, dan membina keupayaan tempatan untuk menaik taraf operasi. Kami juga telah membawa masuk amalan-amalan global terbaik ke Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menawarkan protein berkualiti tinggi kepada rakyat negara ini, pada separuh pertama 2021, Tyson telah mengumumkan jalinan usaha sama strategik dengan Malayan Flour Mill (MFM), dengan perolehan pegangan 49 peratus dalam Dindings Supreme Poultry.

Usaha sama – Dindings Tyson – mengendalikan ladang-ladang yang membekalkan ayam ke kemudahan pemprosesan. Perjanjian tersebut telah membantu memantapkan perniagaan sedia ada di Malaysia dan mengembangkan perniagaan produk daging ayam MFM. Ia juga akan meningkatkan pengedaran daging ayam yang disahkan halal kepada pelanggan dan pengguna di Malaysia serta pasaran eksport penting di Asia dan seterusnya.

Kami juga telah memulakan pecah tanah di sebuah kemudahan pemprosesan baharu di Taman Enstek yang bakal meningkatkan kapasiti kami. Kemudahan tersebut termasuk infrastruktur dan peralatan terkini yang mendokong matlamat kemapanan kami dan ia dijangka beroperasi pada separuh kedua 2023. Malah kami juga telah membuat pelaburan dalam menaiktaraf kemudahan-kemudahan kami dari segi data, analisis, automasi dan pendigitalan merentasi semua operasi kami di Malaysia.

Kami tahu rakyat Malaysia gemarkan produk kami. First Pride adalah jenama nugget ayam terkemuka di negara ini. Kami telah meluaskan pilihan tawaran protein berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia. Jenama Tyson yang bakal dilancarkan ini berikutan rangkaian produk First Pride berasaskan tumbuhan yang diperkenalkan pada 2021.

 

Apakah skala ladang Tyson di Malaysia dan bagaimana ia menyumbang dalam meningkatkan peranan dan keunggulan Malaysia dalam rantaian bekalan makanan Asia Tenggara?

Buat masa ini, operasi Tyson di Malaysia tertumpu terutamanya pada pemprosesan produk dan kami tidak mengendalikan sebarang pertanian huluan atau perladangan. Walau bagaimanapun, usaha sama kami, Dindings Tyson (dahulunya Dindings Supreme), mengendalikan ladang-ladang yang membekalkan ayam ke kemudahan pemprosesan. Dindings Tyson bekerjasama rapat dengan MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dalam pelbagai sudut untuk memajukan industri berasaskan ayam itik di Malaysia. Ini termasuk forum dan penglibatan berterusan yang disokong dengan perkongsian amalan-amalan serta kaedah global terbaik.

 

Sejauh manakah pentingnya Malaysia kepada Tyson di rantau ini dan di peringkat global? Apakah rancangan anda untuk meningkatkan keutamaan Malaysia di rantau ASEAN dari perspektif rantaian bekalan dan eksport?

Populasi Asia Pasifik semakin bertambah, dan kami menjangkakan lonjakan permintaan yang berterusan untuk bekalan protein. Memandangkan potensi rantau ini dan strategi pertumbuhan kami, Malaysia adalah teras utama di peringkat global. Produk halal dari Malaysia diiktiraf dengan baik di peringkat antarabangsa dan kami melihat ini sebagai satu kelebihan daya saing kerana produk yang diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diperakui sebagai standard emas bagi pengguna yang beragama Islam.

Hari ini, Malaysia telah diiktiraf sebagai hab halal serantau, menawarkan produk berkualiti tinggi yang dieksport ke pelbagai pasaran termasuk Asia Barat. Nilai pasaran industri halal di Malaysia dijangka mencecah AS$147.4 bilion (RM614.36 bilion) menjelang 2025, menurut Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC). Malaysia mengeksport sekitar AS$9 bilion (RM35.4 bilion) produk yang disahkan halal.

Tyson akan terus memanfaatkan kelebihan dan kekuatan daya saing ini ke dalam operasi kami di Malaysia. Semua produk yang ditawarkan oleh Tyson disahkan halal dan diluluskan oleh Jakim. Kami hanya bekerjasama dengan rakan kongsi yang diluluskan oleh Jakim bagi memastikan kebolehkesanan merentasi keseluruhan rantaian nilai. Kami juga bekerjasama rapat dengan Jakim untuk memastikan kami terus mengikuti perkembangan terkini.

Di samping itu, kami sering menjalankan audit dan semakan merentasi rantaian bekalan untuk memastikan agar tiada bahagian yang terjejas. Semua proses didokumenkan dengan SOP yang ditetapkan agar ia sentiasa dipatuhi oleh setiap barisan pengeluaran. Untuk tujuan ini, kami memiliki pasukan Jaminan Kualiti dan Keselamatan Makanan (FSQA) yang berdedikasi untuk memantau dan bekerjasama dengan Jakim secara rapat dan memastikan tugas penting ini dilaksanakan dengan baik dan tanpa kompromi.

Pada Julai 2022, kami telah mengumumkan perkongsian strategik dengan Tahmiah di Arab Saudi yang akan dirasmikan dalam beberapa bulan lagi dan ini akan mengukuhkan lagi peranan operasi Malaysia kami sebagai hab serantau dan global.

Apakah rancangan masa hadapan anda di negara ini dalam memangkin pertumbuhan perniagaan dan membuka ruang pekerjaan untuk rakyat tempatan?

Matlamat kami adalah untuk menjadi peneraju pembekal protein di semua pasaran di mana kami beroperasi dan aspirasi kami di Malaysia sejajar dengan matlamat ini. Menyedari hal ini, kami sentiasa mencari peluang untuk memperkenalkan produk baharu untuk memenuhi keperluan pengguna di Malaysia dan kami komited untuk melabur sewajarnya untuk memangkin aspirasi ini. Dengan rangkaian produk yang inovatif dan berkualiti tinggi yang disesuaikan dengan citarasa tempatan, kami menyasarkan untuk menjadi pilihan kegemaran pengguna dan pelanggan kami.

Kami kini mempunyai lebih 1,500 pekerja di Malaysia dan bilangan itu akan bertambah apabila kemudahan terbaharu kami di Taman Enstek dibuka pada separuh kedua 2023. Kami juga membuat pelaburan dalam meningkatkan kemahiran ahli-ahli pasukan agar mereka lebih mantap dalam mengendalikan peralatan operasi baharu untuk operasi yang lebih cekap.

Kami sering mengadakan sesi memahami pengguna untuk mengetahui trend terkini dan pilihan pengguna. Ini digabungkan dengan kolaborasi bersama rakan-rakan kongsi kami untuk membangunkan produk yang relevan. Kami mempunyai pasukan inovasi tempatan yang bekerjasama dengan pasukan inovasi global kami mengenai amalan-amalan terbaik. Sebagai sebahagian daripada proses ini, kami berharap untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang inovatif di Malaysia dan di seluruh rantau ini.

 

Bagaimanakah segmen pasaran makanan berasaskan protein berkembang di Malaysia? Apakah cabaran utama dalam segmen makanan sejuk beku berasaskan protein?

Malaysia boleh dikatakan sebagai ibu kota makanan di rantau ini dan secara umumnya, pengguna di Malaysia sentiasa mencari citarasa dan pengalaman makanan yang baharu. Makanan berasaskan protein kekal popular dan digemari di negara ini. Seperti kebanyakan tempat di dunia, keutamaan dan pengambilan protein, terutamanya daging ayam, turut meningkat di Malaysia. Namun begitu, dari masa ke masa, pengguna kini lebih cenderung untuk mempertimbangkan pilihan makanan yang lebih sihat, lebih selamat dan lebih lestari yang mudah didapati dan mudah untuk dimasak. Menurut Euromonitor, produk yang menawarkan kemudahan seperti daging dan ayam itik proses sejuk beku seperti nugget mempunyai permintaan dan ia akan berterusan untuk tahun-tahun berikutnya. Ini adalah petunjuk positif untuk segmen makanan berasaskan protein di Malaysia.

Sebagai sebuah syarikat global yang menawarkan khidmat kepada negara dan pasaran yang berbeza di seluruh dunia, kami memahami bahawa setiap pasaran adalah unik dari segi cabarannya berkaitan budaya, selera dan pilihan. Sebagai contoh, pensijilan halal adalah faktor utama dalam meraih kepercayaan pengguna di negara ini. Selain itu, persepsi pengguna adalah cabaran global dalam kategori makanan sejuk beku dari segi rasa, kualiti dan nilai nutrisi jika dibandingkan dengan makanan segar.

Walau bagaimanapun, selama beberapa tahun, Tyson telah melabur dalam penyelidikan, teknologi dan inovasi yang telah membantu kami membangunkan produk berkualiti tinggi dengan rasa yang segar seolah-olah baru dimasak. Kami juga terus berusaha ke arah mendidik pengguna dan memberi mereka kesedaran tentang hakikat bahawa SOP kamilah yang membantu mengekalkan nutrien dan perisa yang mereka cari.

Kami telah membuat pelaburan yang besar dalam memahami pengguna untuk menentukan pilihan mereka di Malaysia diikuti dengan penyelidikan ekstensif dan pembangunan usaha untuk menghasilkan produk yang ideal. Kami telah memperkenalkan perisa tempatan di seluruh portfolio kami untuk menawarkan pilihan tempatan yang relevan. Satu contoh yang baik adalah pelancaran profil rasa sate, masala dan Hainan di bawah rangkaian berasaskan tumbuhan kami. 

Selain itu, kami akan melabur dalam pensampelan untuk memberi peluang kepada pengguna untuk mencuba produk kami seiring dengan pelaburan kami dalam pembinaan jenama. Dengan ini, kami mempunyai pusat-pusat inovasi antarabangsa yang bertempat di seluruh dunia dan salah satunya di Malaysia, dan kami berada di kedudukan di mana kami ‘menyajikan makanan’ secara lestari kepada dunia di samping menyampaikan rasa yang mereka idamkan.

 

Anda bakal menambah beberapa jenama pengguna yang baharu ke dalam tawaran produk anda di Malaysia. Bolehkah anda jelaskan lebih lanjut mengenainya dan kelebihannya (USP)? Bagaimana pelancaran itu membantu membina perniagaan anda di sini? 

Kami percaya dalam menawarkan rangkaian produk untuk dipilih oleh pengguna. First Pride telah bertapak kukuh dan merupakan jenama nugget ayam terkemuka di Malaysia. Rangkaian produk Tyson sedia ada kebanyakannya adalah produk whole muscle iaitu potongan penuh termasuk produk ayam goreng dan panggang. Tawaran unik kami yang lain adalah produk bertulang yang enak, mudah dan ringkas untuk disediakan. Kami akan terus menawarkan produk berkualiti tinggi dengan profil rasa yang berbeza kepada pengguna. Selain itu, First Pride turut menawarkan rangkaian berasaskan tumbuhan yang terdiri daripada produk berasaskan tumbuhan yang enak yang telah dilancarkan tahun lalu.

Produk jenama Tyson mempunyai sistem salutan tiga kali yang unik dan istimewa untuk memastikan kerangupannya bermula dari gigitan pertama hingga yang terakhir dan lembut di dalam. Kami kini memperkenalkan tujuh produk pengguna berjenama Tyson yang baharu di Malaysia ​(Classic Fried Chicken, Buffalo Chicken Wing Stick, Crispy Chicken Strips, Chicken Karaage​, BBQ Roasted Chicken Drumstick, Grilled Tender Chicken dan Chicken Nuggets – semuanya dalam pek 600g) yang akan mempunyai rangkaian produk dimasak sepenuhnya dan sedia dimakan yang berbeza untuk melengkapkan portfolio sedia ada.

 

Pada pendapat anda, apakah tiga perkara utama yang dititikberatkan oleh rakyat Malaysia (trend pengguna) dalam segmen makanan ini?

Menurut laporan Asia Food Challenge 2021, Asia dijangka mengalami perubahan seismik pada trend makanan dalam dekad yang akan datang, kerana pengguna semakin mewah, sofistikated dan mendesak.

Kami memahami bahawa selain kualiti dan rasa yang hebat, rakyat Malaysia mencari tiga perkara utama berikut dalam segmen makanan ini:

  • Pematuhan kesihatan dan diet – Pandemik telah mempercepatkan evolusi cita rasa pengguna baharu Asia. Tabiat pemakanan telah mengalami perubahan yang ketara dalam tempoh 20 tahun lalu disebabkan pertumbuhan ekonomi, urbanisasi dan globalisasi. Pengguna sanggup membayar harga yang lebih tinggi untuk makanan yang sihat manakala penilaian premium jenama makanan berkaitan kesihatan meningkat 30 peratus.
  • Kemudahan – Dengan waktu bekerja yang semakin panjang, saiz isi rumah yang kecil dan urbanisasi, permintaan terhadap kemudahan, terutamanya di kalangan milenial semakin meningkat. Tabiat ini dijangka berterusan kerana teknologi memudahkan ia dimasak.
  • Rasa – Akhirnya, semua pengguna mahukan dan mengharapkan produk yang lazat dengan rasa yang enak. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami melihat trend baharu seperti perisa dan profail rasa antarabangsa semakin diminati. Contoh yang baik adalah ledakan ayam goreng Korea. Tyson akan terus bekerjasama dengan pasukan inovasi dan rakan-rakan kongsi kami untuk membangunkan rasa dan perisa baharu yang diinginkan oleh rakyat Malaysia.

 

Apakah tarikan untuk protein berasaskan tumbuhan di negara ini?

Malaysia merupakan pasaran pelancaran untuk rangkaian berasaskan tumbuhan yang pertama kami di Asia Pasifik di bawah jenama First Pride. Pengembangan kami memberi peluang untuk memenuhi permintaan pengguna yang mencari pilihan daging dan tumbuhan. Pasaran berasaskan tumbuhan di Malaysia dan di seluruh Asia Pasifik masih di peringkat awal tetapi protein alternatif telah menyaksikan peningkatan populariti dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan telah dipercepatkan lagi oleh pandemik. Kini, lebih ramai orang memberi tumpuan kepada kesihatan mereka dan kami teruja untuk menawarkan lebih banyak pilihan protein berkualiti tinggi ketika mereka meneroka diet fleksitarian.

Kami berharap untuk melihat kategori ini terus berkembang dan meraih kesesuaian dengan pengguna.

75 peratus pengguna terbuka kepada diet yang terdiri daripada protein daging dan tumbuhan (Sumber: Good Food Institute).

Pasaran untuk pengganti daging di Asia Pasifik dijangka akan mengalami CAGR sebanyak 45 peratus dalam dekad yang akan datang hingga 2032. Alternatif berasaskan tumbuhan adalah yang paling digemari oleh pengguna. Selain itu, dijangkakan bahawa pertumbuhan akan berpurata 4 peratus tahun ke tahun (YoY) dari 2022 hingga 2025.

Pasaran terbolot pula adalah golongan dewasa yang lebih muda yang percaya tabiat pemakanan mereka akan memberi impak langsung terhadap kehidupan yang lestari dan perubahan cuaca akibat daripada penternakan.

Kami tahu bahawa kebolehcapaian dan kemampuan adalah pencetus utama untuk pengguna mencuba makanan berasaskan tumbuhan. Semua produk berasaskan tumbuhan First Pride kami adalah disahkan halal dan dihasilkan dengan campuran serat buluh, protein soya dan protein gandum dalam rantau ini.

Produk berasaskan tumbuhan First Pride yang baharu dijual pada harga kompetitif di seluruh rantau ini (bergantung kepada produk dan saiz bungkusan). Produk yang terdapat di Malaysia adalah lebih berpatutan berbanding produk berasaskan tumbuhan lain di pasaran iaitu pada harga RM19.90 untuk beg 400g. Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa sumber daging tradisional seperti daging dan ayam masih menjadi pilihan utama pengguna. Bagi kami, ia adalah tentang “dan” bukan “atau” dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

 

Bagaimanakah pandemik dan gangguan rantaian bekalan menjejaskan perniagaan anda dari sudut prestasi kewangan? Apakah antara kunci pembelajaran utama dan perubahan SOP yang telah diterapkan oleh Tyson semasa dan selepas pandemik?

Pandemik telah menyebabkan gangguan ke seluruh perniagaan dan industri, termasuk perniagaan kami, tetapi di Tyson Foods kami mengambil isu ini sebagai satu peluang untuk merombak model operasi kami agar menjadi lebih tangkas dalam menyokong pelanggan kami. Walaupun wujud gangguan merentasi pasaran sepanjang pandemik, pasukan kami telah bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan produk dihantar dan permintaan dipenuhi. Pada pertengahan penggal, kami juga menyemak dan mengubah model operasi untuk menjadi lebih tangkas.

Organisasi seperti Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN telah menggariskan dua bahagian penting yang kami juga menyokongnya yang akan menyumbang kepada laluan pemulihan yang lestari daripada pandemik bagi rantau ini, bukan hanya Tyson.

Yang pertama adalah sokongan kepada petani dan pengeluar tempatan dalam membantu mereka mendapatkan akses pasaran. Seterusnya sokongan untuk e-dagang dan ekonomi digital. Pesanan makanan secara dalam talian dan secara penghantaran telah meningkat dalam kalangan jutaan pengguna di dunia. Perniagaan kami di Malaysia, Thailand dan Australia telah menambah e-dagang sebagai satu lagi saluran. Pelancaran produk First Pride kami adalah respon kepada trend pengguna terhadap pemakanan sihat yang melonjak semasa pandemik. Produk berasaskan tumbuhan kami boleh didapati di saluran e-dagang dan juga di kedai-kedai runcit untuk kemudahan semua.

 

Apakah pandangan anda tentang larangan eksport protein dan situasi lebihan yang terhasil di negara ini?

Selepas keadaan kekurangan bekalan ayam Malaysia beberapa bulan lalu, industri ayam telah kembali stabil berkat beberapa inisiatif yang diambil oleh kerajaan Malaysia. Keadaan bekalan mula pulih dengan bekalan yang mencukupi untuk pasaran tempatan menjadikan harga lebih stabil. Industri ini semakin pulih dengan baik sehingga Malaysia kini mengalami lebihan bekalan ayam, menyebabkan harga ayam menjunam lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan. Malaysia telah dan akan terus menjadi hab eksport, terutamanya untuk pasaran halal seperti Asia Barat.

Penstabilan bekalan dan harga dalam pasaran tempatan akan menjadi platform yang baik untuk Tyson, dengan kehadiran kami yang semakin kukuh di sini, untuk membantu meningkatkan keselamatan makanan untuk kedua-dua pasaran Malaysia dan pasaran eksport ke rantau yang lebih luas.

 

Rakyat Malaysia mengalami inflasi makanan yang tinggi, bagaimana Tyson mengimbangi antara kualiti makanan, harga yang berpatutan dan kos input? Adakah situasi inflasi yang tinggi akan melemahkan permintaan pengguna terhadap produk syarikat ini?

Ahli ekonomi dan penganalisis industri mengesahkan harga daging yang lebih tinggi hari ini adalah akibat langsung daripada bekalan terhad yang disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja, kos input yang lebih tinggi untuk barangan seperti bijirin, buruh dan bahan api, di samping permintaan pengguna yang tinggi.

Keadaan bertambah buruk dua tahun kebelakangan ini akibat wabak yang melanda. Digabungkan dengan masalah perkapalan dan logistik yang terjejas oleh Covid-19, permintaan berterusan untuk daging ditambah dengan kekurangan bekalan menjadi faktor peningkatan harga makanan global. Kami telah menyaksikan peningkatan yang berterusan dalam kos barangan merentasi perniagaan dan geografi, yang telah menambahkan lagi tekanan inflasi.

Kami bekerja keras untuk menangani impak inflasi ke atas perniagaan kami dengan menambahbaik kakitangan, kecekapan dan produktiviti. Kami juga menjalankan progres yang cemerlang dalam program produktiviti yang merangkumi pelaburan dalam tenaga kerja, teknologi digital dan automasi yang direka untuk membantu kami beroperasi dengan lebih cekap. Ini kekal sebagai keutamaan dalam perniagaan kami memandangkan persekitaran makroekonomi. Selain itu, kami juga mengambil tindakan untuk mengurangkan kos, mengurangkan perbelanjaan dan menilai semula setiap peranan aspek perniagaan bagi memastikan usaha yang kami lakukan memberi nilai tambah kepada pelanggan dan pengguna.

Kami juga sedang giat membangunkan enam kilang pemprosesan ayam baharu di Asia. Rancangannya adalah untuk melabur lebih AS$1.3 bilion dalam keupayaan automasi yang baharu dalam tempoh tiga tahun untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan kos buruh. Populasi yang meningkat, terutamanya di Asia telah meningkatkan permintaan terhadap daging dan protein berasaskan tumbuhan. Kilang baharu kami di Asia dapat mengurangkan kesan ini dan menyumbang kepada landskap harga yang lebih baik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya