KUALA LUMPUR: Suri rumah yang bekerja layak untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menerima manfaat jika berlaku kemalangan semasa menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, walaupun golongan ini sudah mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), mereka masih berdepan risiko kecelakaan atau kemalangan selepas waktu bekerja semasa menjalankan kerja-kerja rumah.
Katanya, kecelakaan dan kemalangan semasa membuat kerja rumah tidak akan dilindungi oleh Akta 4, kecuali Skim Keilatan seperti mengalami strok semasa berada di rumah.
“Jika berlaku kecelakaan seperti strok, suri rumah yang bekerja itu boleh memilih skim lebih baik untuk membuat tuntutan iaitu Akta 4.
“Namun begitu, jika berlaku kemalangan seperti terjatuh dan cedera semasa membuat kerja rumah atau kemalangan semasa menghantar anak ke sekolah, mereka boleh membuat tuntutan melalui SKSSR,” katanya ketika ditemui di Menara Perkeso, dekat ini semalam.
Beliau berkata, skim yang terletak di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 dan boleh mula didaftarkan pada 1 Disember depan itu memberikan perlindungan kepada wanita yang berkahwin atau belum berkahwin, janda atau balu, ibu tunggal warga Malaysia serta pemastautin tetap.
Menurutnya, skim tersebut adalah secara sukarela dan caruman bagi tempoh 12 bulan adalah sebanyak RM120, yang perlu dibayar terlebih dahulu (advanced payment) bagi memastikan suri rumah memenuhi kelayakan untuk menerima faedah di bawah skim tersebut.
“Walau tiada paksaan untuk caruman, namun suami atau pihak yang membuat caruman tersebut perlu membayar apabila telah mendaftar dengan skim ini.
“Jika berlaku perceraian, suami kehilangan pekerjaan atau kemalangan yang menyebabkan tidak mampu membuat bayaran, mereka boleh datang kepada kami dalam tempoh 60 hari daripada tarikah kejadian tersebut untuk memohon pembatalan caruman.
“Namun begitu, alasan yang diberikan perlulah munasabah dan bukan kerana sudah berpencen atau tidak mahu membayar caruman walaupun berkemampuan,” ujarnya. – UTUSAN