Kerajaan teliti syor tingkat tempoh latihan PLKN 3.0

Kerajaan teliti syor tingkat tempoh latihan PLKN 3.0

MOHAMED KHALED NORDIN - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mempertimbangkan beberapa syor untuk menaik taraf Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 termasuk melanjutkan tempoh latihan pelatih.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syor tersebut dikemukakan oleh pelatih PLKN 3.0 siri kedua bagi tahun ini.

Kata beliau, pelatih turut mengesyorkan supaya penambahan aktiviti praktikal selain melakukan pengukuhan modul berteraskan asas ketenteraan.

Jelasnya, syor-syor tersebut diterima melalui dapatan soal selidik pasca latihan, merekodkan maklum balas positif daripada 82.5 peratus pelatih yang turut mengemukakan cadangan konstruktif bagi penambahbaikan program.

“Secara kualitatif, temu bual bersama alumni siri 1 dan 2 mengesahkan PLKN 3.0 berfungsi sebagai pemangkin transformasi positif dalam kehidupan pelatih.

“Transformasi ini turut merangkumi aspek gaya hidup sihat, pengurusan masa efisien dan pemahaman mendalam terhadap isu semasa negara,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiar di laman web Parlimen Malaysia, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai pencapaian PLKN 3.0 bagi siri kedua yang dilaksanakan dari 11 Mei hingga 24 Jun lalu.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 siri kedua tahun ini merekodkan pencapaian signifikan apabila hampir 90 peratus pelatihnya berjaya menamatkan latihan.

Beliau berkata kadar penyertaan sehingga tamat latihan mencecah 80.73 peratus iaitu seramai 444 daripada 550 pelatih yang disasarkan.

Bagaimanapun, katanya, seramai 43 orang pelatih terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di universiti atau kolej swasta, manakala 63 lagi memohon penangguhan dengan pelbagai alasan.

“Kesimpulannya, Kementerian Pertahanan percaya PLKN 3.0 dapat melangkaui fungsinya sebagai program latihan fizikal semata-mata.

“Ia bakal menjadi intervensi strategik yang berjaya membentuk generasi muda Malaysia lebih berdisiplin, berdaya tahan dan patriotik.

“Program ini juga akan menjadi platform efektif untuk memupuk jalinan persahabatan erat merentasi kaum dan negeri, selari aspirasi pembangunan modal insan holistik untuk kemajuan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN