Raja Belgium kecam kekejaman di Gaza dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

Raja Belgium kecam kekejaman di Gaza dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Raja Belgium, Raja Philippe menyifatkan kekejaman yang berlaku di Gaza sebagai satu penghinaan terhadap kemanusiaan dalam satu ucapan sempena Hari Kebangsaan negara itu pada Isnin, kenyataan yang luar biasa dan terus terang daripada seorang raja yang lazimnya mengelak daripada menyentuh isu politik antarabangsa secara terbuka.

“Saya menyertai suara-suara yang mengecam pencabulan kemanusiaan serius di Gaza, di mana orang awam yang tidak bersalah sedang mati kelaparan dan terbunuh akibat pengeboman, sementara mereka terperangkap di dalam wilayah yang dikepung.

“Situasi ini telah berlarutan terlalu lama. Ia adalah satu penghinaan terhadap seluruh kemanusiaan. Kami menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar krisis yang tidak tertanggung ini ditamatkan serta-merta,” titah baginda dalam ucapan dari istananya di Brussels.

Ini merupakan kali pertama Raja Philippe menyuarakan pandangan secara terbuka dan tegas mengenai konflik antarabangsa, satu langkah yang jarang berlaku memandangkan peranan institusi diraja Belgium yang terhad kepada memberi nasihat, sokongan dan peringatan kepada kerajaan tanpa campur tangan dalam keputusan politik.

Kerajaan persekutuan Belgium sendiri sebelum ini lebih berhati-hati dan sederhana dalam mengkritik konflik yang sedang berlaku di Gaza.

Serangan Israel ke atas Gaza dilancarkan selepas serangan oleh pejuang diketuai Hamas pada Oktober 2023 ke atas bandar-bandar di Israel yang mengorbankan 1,200 nyawa dan menyebabkan 251 individu dijadikan tebusan.

Sejak itu, menurut pegawai kesihatan di Gaza, lebih 59,000 penduduk telah terbunuh akibat serangan balas Israel. Sebahagian besar wilayah itu musnah, manakala bekalan makanan dan bantuan lain turut disekat.

Israel menafikan pasukannya melakukan kekejaman di Gaza dan mendakwa sekatan terhadap bekalan adalah perlu bagi mengelakkan bantuan disalahgunakan oleh kumpulan militan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN