PETALING JAYA: NCT Group telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) bagi membangunkan pilihan pembiayaan mampan untuk pembeli akhir projek NSIP yang akan datang.
Kerjasama itu akan meneroka penyediaan perkhidmatan seperti perbelanjaan modal, modal kerja, penyelesaian perdagangan, serta pembiayaan akhir.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group of Companies, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang kumpulan untuk memastikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses oleh bakal pelabur NSIP.
“NSIP ialah komitmen kami terhadap kelestarian dan kami berkongsi visi untuk memacu pertumbuhan dan kejayaan untuk perniagaan tanpa melupakan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami.
“Dalam mengejar matlamat NSIP untuk mencapai status Hartanah Hijau (GreenRE), kami akan terus melaksanakan lebih banyak elemen ESG bagi mengukuhkan kehadiran NSIP sebagai taman perindustrian ekosentrik di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, semua sektor harus bekerjasama secara kolektif ke arah matlamat bersama untuk melindungi alam sekitar untuk generasi masa depan negara.
“Oleh itu, kami teruja dapat bekerjasama dengan NCT Group untuk projek NCT Smart Industrial Park (NSIP) kerana ia sejajar dengan hala tuju strategik MBSB Bank ke arah kelestarian.
“Selain memastikan pembeli akhir dan pelabur NSIP akan mendapat manfaat daripada pilihan pembiayaan menarik yang ditawarkan oleh MBSB Bank, kami yakin bahawa visi bersama dalam memacu agenda ESG oleh kedua-dua pihak akan memberi manfaat kepada semua pihak dan membawa kami ke arah pertumbuhan perniagaan yang lebih besar secara mampan,” katanya. – UTUSAN










