MPOB gesa pelabur teroka sektor oleokimia berasaskan sawit 

MPOB gesa pelabur teroka sektor oleokimia berasaskan sawit

AHMAD PARVEEZ GULAM KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengesa pelabur meneroka peluang dalam sektor oleokimia berasaskan sawit di negara ini memandangkan permintaan global terhadap produk tersebut semakin meningkat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, permintaan global untuk produk nilai tambah seperti bahan kimia industri, nutraseutikal, kosmeseutikal, makanan tambahan dan produk farmaseutikal semakin meningkat.

Katanya, ia sejajar dengan perubahan dalam aspek demografi dan sosial, peningkatan kekayaan serta kesejahteraan global berikutan kesan urbanisasi yang pesat.

Menurutnya, laporan menunjukkan pasaran oleokimia global telah mencecah AS$22.5 bilion (RM104.4 bilion) pada 2021 dan permintaan global untuk oleokimia dijangka meningkat kepada AS$33.9 bilion (RM157.3) menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun yang tinggi sebanyak 7.2 peratus sepanjang 2022 hingga 2027.

“Ini menunjukkan pasaran oleokimia global berkembang pesat dengan permintaan tinggi terhadap produk berasaskan oleokimia. Oleh itu, pelabur harus meneroka dan melabur dalam sektor oleokimia berasaskan sawit negara, disokong oleh inisiatif penyelidikan dan pembangunan berterusan MPOB.

“Sebagai contoh, pelaburan di Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar untuk berjaya kerana pada masa ini tiada kilang oleokimia yang beroperasi di kedua-dua negeri.

“Pelabur boleh mendapat manfaat daripada bekalan minyak sawit dan minyak isirung sawit tanpa gangguan untuk penghasilan oleokimia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Sarawak mempunyai kawasan tanaman sawit terbesar di Malaysia manakala Sabah adalah negeri pengeluar minyak sawit terbesar negara.

Jelasnya, sehingga Ogos tahun ini, terdapat 50 buah kilang penapisan, 42 buah kilang pelumat isirung sawit dan 20 buah kilang oleokimia beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB bagi sektor hiliran oleokimia meliputi lapan bidang utama iaitu surfaktan, poliol dan poliuretana, kosmetik, agrokimia, bahan kimia seni, bio-pelincir, teknologi dan alam sekitar.

MPOB juga menyediakan kemudahan loji rintis dan bantuan teknikal untuk kajian kebolehlaksanaan dan menawarkan perkhidmatan kawalan dan penetapan kualiti.

“Pelbagai produk oleokimia berasaskan sawit yang dihasilkan melalui aktiviti R&D MPOB telah dikomersialkan seperti kosmetik, produk penjagaan diri, detergen, bahan plastik, bahan pemprosesan polimer, krim farmaseutikal dan minyak pelincir, formulasi racun perosak, campuran konkrit, kusyen kereta, panel hiasan, produk sanitasi dan gel mandian.

“Penyelidikan MPOB juga berjaya menghasilkan formulasi makanan haiwan ternakan berasaskan sawit yang sedia untuk dikomersialkan. Formulasi MPOB dapat mengurangkan kos makanan haiwan yang semakin meningkat berikutan harga bahan mentah import seperti jagung dan kacang soya yang tinggi, sekali gus membimbangkan pengeluarmakanan ternakan tempatan.

“Penggunaan hasil sampingan sawit dalam makanan haiwan adalah salah satu strategi untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan ternakan, di samping mengurangkan kos pengeluaran makanan dan mengurangkan pergantungan kepada bahan makanan import,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya