fbpx

KTNS RA2 idaman pencinta dua roda

SEKIRANYA ditanya pada para peminat dua roda tempatan, apakah jenis motosikal yang menjadi impian untuk dimiliki sekiranya kewangan bukan isu, saya yakin lebih separuh daripada mereka akan menjawab jentera Harley Davidson.

Umum mengetahui, jentera berjenama dari Amerika Syarikat tersebut sememangnya tergolong dalam impian ramai peminat jentera beroda dua ini. Faktor ini bukan sahaja diakui antara para bikers, namun pembuat motosikal serata dunia tidak henti-henti cuba menghasilkan motosikal yang hampir sama atau meniru konsep enjinnya. Tidak terkecuali daripada empat pembuat motosikal gergasi daripada Jepun samada Honda, Yamaha, Suzuki dan Kawasaki.

KTNS Holdigs Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat pemasangan motosikal tempatan yang membuat usaha sama dengan syarikat pengeluar motosikal daripada China (KTNS). Mereka sejak beberapa tahun ini agak aktif memasarkan sebuah lagi jenama daripada China iaitu CF Moto. Memperkenalkan jentera yang baru sahaja dipasarkan pada Julai lalu, RA2 dilihat sebagai memenuhi keperluan dan permintaan motosikal cruiser yang berkapasiti rendah (250cc).

FIZIKAL

Sekiranya diambil kira rupa bentuknya, tidak dapat dinafikan terdapat elemen-elemen klon motosikal Harley Davidson sportster 883 dan Yamaha SCR900. Bagi saya, KTNS RA2 ini sudah mendapat 80 peratus daripada jumlah markah keseluruhan. 

Skim warna yang ditampilkan juga adalah satu skim klasik motosikal cruiser iaitu Matte Black dan Coffee Brown.  Namun, penggunaan roda sports agak sedikit mengecewakan kerana tidak mengikut konsep cruiser sepenuhnya. Sepatutnya KTNS menggunakan roda berjeriji atau lidi untuk lebih menyerlahkan imej klasik atau retro.

Lampu hadapan berbentuk sfera atau bulat, walau diakui menampilkan imej retro sejati, namun tidak salah sekiranya dilengkapi LED HALO yang pasti menampakkan imej yang moden dalam reka bentuk retro.

Selain itu, bentuk  fizikal KTNS RA2 ini mungkin menghasilkan pendapat yang berbeza bagi setiap individu, iaitu kusyen penyandar belakang yang terletak di hujung pelana. Penyandar ini sudah tentu memberi sedikit keselesaan dan kelegaan pada pembonceng anda, terutama pada perjalanan jarak jauh. Namun, saya pasti menanggalkannya kerana bagi saya, ia agak mencolok mata dan mengganggu aliran rekaan rupa bentuk motosikal ini. 

PELANA belakang untuk keselesaan pembonceng.

Lain-lain bahagian RA2 ini ternyata menepati cita rasa peminat-peminat cruiser atau retro tempatan. Penggunaan meter moden-retro pada KTNS ni juga amat baik. Walaupun mempunyai fizikal seperti sebuah meter klasik yang menampilkan meter tunggal, namun, menggunakan 100 peratus paparan hablur cecair (LCD) digital adalah sangat menarik. Begitupun, setelah dipandu, ternyata meter ini mempamerkan informasi yang agak biasa seperti odometer, penunjuk tahap bahan api dalam tangki dan kelajuan tanpa penunjuk waktu, suhu enjin atau penunjuk gear pada meter. Namun kedudukan gear enam kelajuan itu dipamerkan pada satu barisan lampu-lampu di bawah meter seperti motosikal kapcai.

PANDU UJI

Ini adalah faktor yang sebenarnya agak merisaukan saya. Telah banyak motosikal daripada China yang cuba menampilkan reka bentuk motosikal yang popular, dengan menghasilkan klon-klon rekaan motosikal jenama yang popular. Begitupun, apabila saya mula menunggangnya untuk beberapa minit, kebanyakan daripada motor-motor klon ini tidak menepati piawaian keselamatan atau pun pemanduan yang baik, seperti sistem suspensi yang terlalu lembut, sistem brek yang gagal berfungsi dengan baik, atau pun enjin yang menghasilkan bunyi seperti ‘tersepit’.

KTNS ini nampaknya berjaya memberi saya satu perasaan tunggangan yang baik namun kita perlu tetapkan di minda, ia sebuah motosikal klon dan kapasiti enjinnya hanya sekitar 250cc sahaja. 

Pengendalian KTNS RA2 ini agak baik, terutama daripada kebolehannya menyerap hentakan daripada permukaan jalan tidak rata atau pun melalui jalan-jalan off road yang terpaksa dilalui. Tiada sekali pun kejadian ketika pandu uji jentera ini yang menyebabkan saya khuatir tentang keselamatan saya akibat daripada pengendaliannya yang tidak jitu dan mendatangkan bahaya kepada penunggangnya. 

Tayar yang dibekalkan juga cukup mencengkam dalam keadaan kering atau basah. Penggunaan saiz roda 110/80-18 bagi roda hadapan dan 140/90-15 bagi roda belakang sangat sesuai untuk motosikal rekaan sebegini.

Enjin yang berkapasiti 249.9cc, PR250 (silinder tunggal, empat lejang, sejukan cecair) cukup untuk memacu jentera ini pada kelajuan 115 hingga 120 km/j pada kelajuan maksimum.  Bagi saya, adalah tidak relevan menunggang motosikal retro ini pada kelajuan yang lebih tinggi kerana sudah tidak menepati tujuan pembinaan dan konsepnya. 

Bunyi enjin yang dihasilkan daripada sistem ekzosnya adalah agak baik kerana tidak bising, namun rupa bentuk ekzosnya mengingatkan saya pada jentera kapcai lama seperti Honda C70, C90 atau EX5.

Satu lagi perkara yang amat saya sukai pada jentera ini adalah tempat letak kaki bagi penunggangnya. Ia tidak terlalu jauh kehadapan (forward control), dan tidak juga terlalu ke belakang atau tengah. Posisi peletak kaki ini tidak memenatkan paha dan kaki anda ketika menunggang di lebuh raya atau ketika perjalanan jarak jauh.

KESIMPULAN

Selepas merasai sendiri pengalaman menunggangnya, saya sangat menyukai motosikal ini. Pertama kerana rekaannya yang menepati kebanyakan peminat motosikal-motosikal cruiser. Malah, dengan sedikit imaginasi, ilmu dan modal, anda mampu mengubah imejnya menjadi bobber, café racer, dragster, retro scrambler atau low rider. Ternyata KTNS RA2 ini mempunyai casis yang bersedia untuk transformasi tersebut.

Faktor kedua yang saya suka tentang motosikal ini ialah kualiti pembuatannya yang baik, teguh dan tiada bunyi aneh ketika tunggang uji dilakukan. Tangki, casis malah enjinnya juga saya dapati berkualiti, sama ada dari segi pemasangan atau pendawaian. 

Faktor ketiga sudah pasti harga jualannya, RM12,800 tidak termasuk cukai jalan, kos pendaftaran dan insurans yang boleh dikategorikan sebagai mampu milik. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN