PETALING JAYA: Kementerian Kewangan menjelaskan, inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding negara lain disebabkan pemberian subsidi oleh kerajaan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, subsidi tahun ini dijangka sehingga RM80 bilion berbanding RM16 bilion tahun lalu.
Kata beliau, sebagai contoh, perbelanjaan pengangkutan satu keluarga adalah 15 peratus daripada pendapatan.
“Bila ada subsidi untuk minyak RON95, maka inflasi bagi minyak tersebut adalah 0 peratus kerana harganya setiap bulan tidak berubah iaitu RM2.05 setiap litre.
“Tiada sebarang kenaikan harga kerana ia disubsidikan oleh kerajaan. Jika lihat harga pasaran , harga sebenar minyak itu adalah RM3.55 setiap liter. Setiap liter yang rakyat isi, kerajaan menampung RM1.50.
“Harga itu dapat dikekalkan kerana kerajaan menaikkan subsidi sehingga RM31 bilion setahun untuk meringankan beban keluarga Malaysia.
“Subsidi bukan hanya diberikan untuk RON95 sahaja, terdapat macam-macam subsidi lagi seperti gas memasak, ayam, telur dan bekalan elektrik,” kata beliau menerusi Facebooknya.
Mengulas cara pengiraan inflasi, Tengku Zafrul berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk mengukur perubahan harga barangan bulanan bagi bakul tetap dan perkhidmatan.
Jelasnya, terdapat 552 kumpulan barangan dan perkhidmatan yang diukur dan bakul itu menggambarkan perbelanjaan dan purata keluarga dalam negara.
“Barangan yang dibandingkan adalah tetap dan tidak akan bertukar. DOSM melakukan perbandingan harga di 21,800 lokasi runcit seluruh negara dengan bantuan 1,100 anggota DOSM setiap bulan.
“Terdapat 12 kumpulan utama IHP dan setiap kumpulan itu ada pemberatnya. Sebagai contoh, makanan dan minuman bukan alkohol pemberatnya 29.5 peratus. Itu bermaksud satu keluarga berbelanja 30 peratus daripada pendapatan untuk makanan dan minuman.
“Jadi, perlu ada pemberat untuk menunjukkan komponen mana yang lebih banyak dibelanjakan kerana komponen ini yang akan lebih memberi impak kepada poket pengguna.
“Sebenarnya, pengiraan DOSM sangat terperinci. DOSM turut mengira inflasi untuk harga nasi ayam mengikut setiap komponen yang ada dalam nasi ayam daripada beras, ayam, salad, cili timun sehingga ke kicap.
“Walaupun ada kenaikan harga bahan mentah, harga nasi ayam sepatutnya tidak melebihi RM7. Pengiraan itu bagaimanapun tidak sempurna, ia cuma harga purata.
“Harga nasi ayam yang dijual di dalam bandar mungkin naik lebih tinggi berbanding harga yang dijual di luar bandar,” jelasnya. – UTUSAN










