Dolar mengukuh: Bursa Malaysia, ringgit teruskan trend kejatuhan

Dolar mengukuh: Bursa Malaysia, ringgit teruskan trend kejatuhan

PELABUR dibimbangi akan meninggalkan Bursa Malaysia jika negara tidak stabil disebabkan krisis politik berpanjangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham Bursa Malaysia dan nilai ringgit meneruskan trend kejatuhan selepas dolar disokong oleh kenyataan terbaharu daripada pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell mengenai usaha membendung inflasi di negara itu serta prestasi lemah semalaman Wall Street.

Pada pukul 9 pagi, nilai mata wang tempatan turun kepada 4.6140/6155 berbanding dolar AS daripada penutupan kelmarin pada 4.6100/6120, manakala penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 3.55 mata lebih rendah pada 1,407.32 berbanding penutupan Selasa pada 1,410.87.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, trend kejatuhan ringgit dan Bursa bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia adalah feno­mena yang berlaku di seluruh dunia.

Misalnya, mata wang pound, yen dan won merosot lebih teruk berbanding mata wang tempatan, sama seperti pasaran bursa di seluruh dunia termasuk AS sendiri yang turut merosot dengan pengalihan aliran kepada pelaburan berkadar pulangan tetap yang tinggi seperti bon kerajaan AS.

“Kemerosotan nilai mata wang ringgit pasti memberikan tekanan kenaikan harga barang terutama makanan yang diimport. Oleh itu, kerajaan perlu tampil dengan langkah strategik dalam jangka masa pendek dan panjang ini.

“Apakah Malaysia perlu menggunakan mata wang lain selain dolar AS dalam urusan import eksport atau mengadakan perjanjian kerajaan kepada kerajaan (G2G) dalam membantu pengimport tempatan serta mewujudkan rantaian nilai untuk bekalan makanan negara bagi memastikan kecukupan bekalan dan harga yg stabil.

“Begitu juga untuk mena­ngani pasaran modal negara dan menguatkan mata wang iaitu dengan memastikan setiap hasil eksport ditukar secepatnya di dalam ringgit. Insentif boleh ditawarkan kepada syarikat korporat untuk menyimpan depo­sit dalam mata wang ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menegaskan, hakikatnya, penurunan nilai ringgit akan terus berlaku begitu juga dgn pasaran saham negara.

Justeru katanya, langkah yang lebih agresif dan proaktif mesti dibuat oleh kerajaan supaya situa­si sekarang tidak dibiarkan hanya mengikut arah pasaran.

“Kerajaan perlu memastikan penurunan nilai ringgit berlaku secara stabil dan terkawal iaitu memudahkan para peniaga dan pihak korporat membuat perancangan tanpa menghadapi perubahan yang mendadak.

“Dalam situasi seperti ini, kerajaan harus mempunyai satu jawatankuasa yang menumpukan usaha untuk memastikan ekonomi negara tetap berdaya tahan dan bersedia menghadapi kemelesetan global tahun depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya