Bursa Malaysia jatuh di bawah 1,400 mata, ringgit kekal lemah

Bursa Malaysia jatuh di bawah 1,400 mata, ringgit kekal lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup rendah petang ini dengan indeks petunjuk pasaran jatuh di bawah 1,400 mata dalam keadaan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemelesetan global.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.39 mata kepada 1,397.50 mata berbanding 1,401.89 pada penutupan urus niaga Rabu.

Pergerakan harga di pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 499 berbalas 343 manakala 412 kaunter tidak berubah dan 1,147 kaunter tidak diniagakan.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kejatuhan bursa itu kemungkinan berlaku disebabkan oleh tiga faktor.

“Tiga faktor itu ialah keadaan politik negara yang tidak stabil, kecelaruan hala tuju Bajet 2023 dan jangkaan orang ramai bahawa akan berlaku pertukaran pemerintah.

“Faktor-faktor tersebut berkemungkinan besar menjejaskan keyakinan pelabur. Pilihan raya umum juga dijangka akan berlaku tidak lama lagi, jadi itu menyebabkan pelabur bimbang kerana tidak dapat melihat hala tuju yang jelas tentang siapa yang akan memerintah negara.

“Justeru, mereka membuat pilihan untuk mengambil untung dan keluar buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kejatuhan bursa ke bawah paras 1,400 mata itu mungkin berkaitan dengan perkara yang sedang berlaku di Eropah sekarang.

“Insiden kebocoran gas kali keempat telah dikesan di saluran paip bawah laut yang beroperasi dari Russia ke Eropah.

“Insiden itu berlaku selepas beberapa letupan berlaku pada minggu ini melibatkan saluran paip Nord Stream dan ada yang mengatakan ia berlaku kerana perbuatan khianat.

“Selain itu, tindakan Russia untuk memanggil askar simpanan turut memberi kesan kepada sentimen pelabur.

“Saya menjangkakan bursa akan kekal tidak stabil sehingga minggu depan,” katanya.

Ringgit pula terus lemah berbanding AS apabila ditutup pada 4.6475 berbanding 4.6265 semalam.

Sentimen di pasaran tukaran asing masih tidak menentu disebabkan oleh kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan krisis tenaga Eropah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN