Bank Pusat Indonesia terus campur tangan

Bank Pusat Indonesia terus campur tangan

BANK Indonesia menaikkan kadar faedah 50 mata asas untuk membendung inflasi dan mengukuhkan nilai ringgit. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Bank pusat Indonesia meneruskan campur tangan untuk mengawal kejatuhan berlebihan nilai rupiah dalam pasaran mata wang global.

Ketua Jabatan Pengurusan Monetari Bank Indonesia (BI), Edi Susianto memberitahu Reuters, bank pusat itu juga akan terus melakukan “putaran operasi” dalam pasaran bon dengan tumpuan kepada penjualan bon jangka pendek.

Beliau membuat kenyataan itu selepas rupiah jatuh sebanyak 0.9 peratus kepada 15,260 berbanding dolar, paras terendah sejak April 2020.

Kata beliau, tekanan ke atas rupiah dan mata wang Asia lain disebabkan kegelisahan pasaran selepas kenyataan hawkish oleh Rizab Persekutuan AS dan laporan rancangan oleh Russia serta Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, mahu mengurangkan pengeluaran minyak mereka.

“Sudah tentu BI akan mengawal [pasaran] dengan campur tangan tiga kali ganda supaya mekanisme pasaran dikekalkan dan tidak ada susut nilai yang liar atau berlebihan,” katanya.

Jelas beliau, campur tangan tiga kali ganda lebih tertumpu kepada pasaran domestik NDF (domestic non-deliverable forwards/DNDF) untuk mengurus jangkaan pemain pasaran.

BI menggunakan istilah “campur tangan tiga kali ganda” untuk operasinya dalam pasaran pertukaran asing semasa, DNDF dan bon.

Baru-baru ini, campur tangan pasaran bon telah dilakukan di bawah dasar dipanggil “putaran operasi”, di mana BI menjual bon dengan tempoh matang jangka pendek dan membeli bon jangka panjang.

Objektifnya adalah untuk meningkatkan hasil jangka pendek dan menjadikan bon lebih menarik bagi pelabur asing, di samping membantu kerajaan mengekalkan kos pinjaman yang agak rendah untuk pinjaman jangka panjang.

“Campur tangan BI dalam pasaran bon bergantung kepada perkembangan pasaran,” kata Edi.

BI telah menaikkan kadar faedah dua kali sebanyak 75 mata asas sejak Ogos untuk mengekang inflasi domestik dan menyokong rupiah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN