IPOH: Seorang wanita terpaksa dipapah turun sejauh tiga kilometer selepas mengalami sesak nafas ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Irau, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 8.32 malam.
Katanya, mangsa dilaporkan mengalami sesak nafas sewaktu menjalani aktiviti hiking ‘open trip’ di Gunung Irau iaitu sempadan antara Perak dan Pahang.
“Setibanya di lokasi, beberapa malim gunung telah keluar lebih awal memohon bantuan dan menunjukkan arah kepada pasukan penyelamat ke lokasi mangsa yang terletak kira-kira enam kilometer dari pondok Polis Bantuan.
“Bagaimanapun, kenderaan hanya boleh dibawa masuk sejauh tiga kilometer ke kawasan Agroto Business dan pasukan penyelamat terpaksa mendaki untuk sampai ke sana,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketua operasi bersama tiga anggota, dua malim gunung, seorang pegawai perubatan dan seorang orang awam masuk ke dalam hutan untuk memberikan bantuan kepada mangsa.
Katanya, mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat pada pukul 11.10 malam sebelum bantuan awal diberikan oleh pasukan EMRS, selain mangsa diselimutkan dengan kain tebal bagi memastikan keadaannya stabil.
“Mangsa kemudiannya dipapah dan dibawa turun dari bukit sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital.
“Operasi yang disertai lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dan BBP Brinchang itu tamat pada pukul 12.40 pagi tadi,” katanya. – UTUSAN










