Untung bersih Sime Darby RM1.1 bilion

Untung bersih Sime Darby RM1.1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad melaporkan untung bersih bernilai RM1.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM1.4 bilion pada 2021, mengambil kira keuntungan sekali beri RM272 juta daripada penjualan kepentingan kumpulan dalam Tesco Malaysia.

Tanpa mengambil kira hasil jualan tersebut, untung bersih kumpulan menyusut sedikit pada kadar 4.3 peratus disebabkan untung yang lebih rendah bagi perniagaan perindustrian dan automotif di China yang terjejas akibat kemerosotan jualan seluruh industri peralatan berat, kekangan inventori dan sekatan Covid-19.

Hasil pula merosot kepada RM42.5 bilion bagi tahun yang dilaporkan berbanding RM44.3 bilion pada 2021.

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022, untung bersih berjumlah RM278 juta adalah hampir 32 peratus lebih tinggi peningkatan untung daripada bahagian perindustrian dan perbelanjaan cukai yang lebih rendah manakala hasil RM10.9 bilion yang diraih adalah 4.0 peratus lebih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kumpulan melaporkan keuntungan berjumlah lebih RM1 bilion tahun ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran disebabkan gangguan rantaian bekalan serta kos operasi yang lebih tinggi akibat masalah buruh.

“Bahagian automotif menghadapi cabaran yang besar pada tahun yang dilaporkan, terutamanya di China. Malaysia mencatatkan prestasi cemerlang walaupun menghadapi sekatan pergerakan dalam tahun kewangan ini, dengan peningkatan sebanyak lebih 50 peratus keuntungan daripada operasinya.

“Prestasi ini dicapai menerusi pengedaran BMW dan Porsche serta operasi pemasangan kami. Kejayaan paling besar bagi tahun ini ialah pembukaan kilang pemasangan untuk Porsche di Kulim, Kedah yang merupakan kilang pertama di luar Eropah.

“Kilang tersebut membekalkan Porsche Cayenne yang dipasang di dalam negara mulai Mac tahun ini dan sambutan daripada pelanggan sungguh menggalakkan.

Menurutnya, bagi bahagian perindustrian, harga komoditi yang kukuh memacu permintaan bagi peralatan di pasaran utama kumpulan di Australia namun kos overhed yang tinggi telah menjejaskan margin.

Ujarnya, di China, kemelesetan aktiviti pembinaan menyebabkan kemerosotan lanjut dalam pasaran peralatan berat.

“Namun, kami tetap fokus kepada pelaksanaan pelan untuk merasionalisasi bahagian bukan teras. Kami telah berjaya memeterai perjanjian untuk melupuskan kepentingan dalam Pelabuhan Weifang pada Julai.

“Penjualan ini bermakna kami telah keluar sepenuhnya daripada bidang logistik. Pada masa depan, kami berhasrat untuk menjadi sebuah entiti yang tertumpu, dengan dua pemacu pertumbuhan mantap, iaitu automotif dan peralatan berat,” ujarnya.

Sime Darby telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7.5 sen sesaham
bagi suku keempat 2022. Bayaran dividen bagi tahun kewangan 2022 berjumlah 11.5 sen sesaham atau RM783 juta, yang meliputi 71 peratus daripada untung bersih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN