UEM Sunrise beli tanah lokasi strategik RM384 juta - Utusan Malaysia

UEM Sunrise beli tanah lokasi strategik RM384 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Sunrise memperoleh tanah pegangan bebas perdana seluas 6.39 ekar di Jalan Sultan Yahya Petra (dahulunya dikenali sebagai Jalan Semarak), dekat sini yang terletak hanya dua kilometer (km) dari pusat bandar dengan harga RM384 juta.

Perjanjian jual beli dengan pemilik tanah Nipponkey Sdn. Bhd. itu adalah untuk membangunkan produk kediaman yang memenuhi keperluan pemilik rumah muda dan golongan profesional bekerja yang mencari lokasi berdekatan dengan pusat bandar Kuala Lumpur.

Pembangunan tersebut mempunyai anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion dan dijadualkan untuk pelancaran pada 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya mendapati lokasi tersebut mendapat permintaan tinggi yang berterusan untuk produk bersaiz kecil hingga sederhana yang berdekatan dengan KLCC di bawah paras harga RM1 juta.

“Kami yakin pembangunan ini akan menjadi penambahan yang dialu-alukan kepada penduduk bandar raya yang mencari kemudahan di samping gaya hidup menetap di tengah bandar,” katanya dalam kenyataan.

Pembangunan tersebut mempunyai pemandangan tanpa halangan yang menghadap latar langit bandar raya Kuala Lumpur termasuk Taman Tasik Titiwangsa, selain mempunyai ketersambungan melalui laluan tinggi utama termasuk Lebuh Raya Duta Ulu-Kelang (DUKE), Lebuh Raya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Maju (MEX) dan Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (MRR1).

Dengan pembukaan stesen MRT Raja Uda yang dijadualkan pada Januari 2023 yang terletak sejauh 1.5 km dari pembangunan tersebut, para penduduk akan dapat menikmati kelebihan mendiami kawasan berdekatan dengan rangkaian rel pengangkutan awam di bandar.

Menurut Sufian, memandangkan keluasan dan lokasinya yang strategik di samping perancangan sedia ada, pihaknya berpuas hati dengan nilai saksama tanah di Jalan Sultan Yahya Petra untuk memulakan pembangunan tersebut. 

“Pemindahan tanah di Gerbang Nusajaya kepada Nipponkey sebagai bayaran dalam bentuk barangan untuk tanah seluas 6.39 ekar, membolehkan kami untuk memperkembangkan nilai tanah syarikat di Iskandar Puteri. 

“UEM Sunrise akan meneruskan usaha mencari tanah yang mampu menawarkan nilai kepada pelanggan dan pemegang saham kami sambil mengukuhkan aktiviti-aktiviti pelancaran kami dalam jangka masa pendek hingga sederhana,” ujarnya.

Dengan penambahan terkini, jumlah simpanan tanah UEM Sunrise di luar kawasan ibu negara berjumlah kira-kira 655.8 ekar dengan jumlah anggaran RM30.7 bilion dalam GDV, membekalkan syarikat dengan kemajuan yang berdaya tahan dan mampan dalam jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya